Assalamualaikum wbt,
Saya ingin mengajak diri saya dan HALUANSiswa sekalian untuk sama-sama kita terus pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan terus iltizam dan patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan segala tegahan-Nya.
Bagi sahabat/akhowat yang sedang bergelut dengan peperiksaan akhir semester, diucapkan Selamat berjuang dan berjihad di dalam menempuh peperiksaan di IPT masing-masing. Semoga Allah SWT bersama-sama antum.
Tahniah juga kepada kepada beberapa orang mahasiswa/i HALUANSiswa yang turun ke Padang, Indonesia membantu saudara-saudari Muslim kita di sana. Kita sedia maklum yang ‘aqidah saudara-saudara kita terancam dengan dakyah Kristian. Semoga lebih ramai lagi daripada kita yang dapat terlibat membantu. Anggaplah sumbangan yang diberikan itu adalah tadrib untuk diri kita.
Sahabat dan akhowat sekalian,
Sepanjang cuti semester, HALUANSiswa perlu proaktif mendidik diri, dan berbakti kepada masyarakat. Banyak aktiviti-aktiviti HALUAN yang boleh kita libatkan diri bagi mengisi masa yang ada. Kita juga boleh menyusun aktiviti-aktiviti pelajar di sekolah-sekolah angkat HALUAN. Aktiviti-aktiviti ini sebenarnya penting untuk kita mengasah bakat kepimpinan. HALUANSiswa perlu mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi yang menjadikan Rasul SAW sebagai model kita.
Menurut Ibnu Khaldun, kepimpinan dalam Islam membawa maksud membawa seluruh insan mengikuti syarak. Urusan ini meliputi urusan dunia dan akhirat. Justeru itu HALUANSiswa perlu siapkan diri dengan kualiti berikut, insyaAllah.
Antaranya ialah:
- Ikhlas, sentiasa benar dan jujur
- Sensitif terhadap pengintipan Allah swt
- Memohon pertolongan Allah dalam semua perkara
- Rasa tanggungjawab mendalam
- Mengenali jiwa
- Perhatian kepada anggota-anggotanya
- Mengukuhkan ukhuwwah fillah
- Mempunyai perancangan dan bersungguh-sungguh melaksanakannya
- Tauladan baik (Qudwah Hasanah)
- Memotivasikan ahli-ahlinya
- Pandangan jauh (berwawasan)
- Daya tarikan semula jadi (Karismatik)
- Optimis
- Komunikasi berkesan
- Pemikir, pekerja dan produktif
- Pengurus dan pengikut
- Pejuang
- Bermanafaat kepada orang lain
Sifat-sifat ini bukan datang menggolek, akan tetapi ianya perlu kita latih diri kita secara berterusan dan sistematik tanpa mengenal lelah dan jemu.
Sahabat dan akhowat sekalian,
Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Eidil Adha. Antara tarbiah utama Eidil Adha ialah mengajar kita hakikat pengorbanan. Sesungguhnya di dalam Islam, erti pengorbanan mempunyai dimensi yang luas. Pengorbanan itu dituntut dalam pelbagai aspek kehidupan orang-orang yang beriman kepada Allah. Tidak akan tertegak amal Islami untuk mengembalikan semula Islam yang telah dihina kepada kedudukannya yang tinggi dan mulia tanpa berkorban. Tidak akan tertegak dakwah Isalmiyah untuk menyeru seluruh manusia supaya kepada din Allah SWT tanpa berkorban. Tidak akan tertegak jihad untuk menentang serangan musuh-musuh Allah seperti serangan dari golongan yahudi, golongan nasrani, gerakan misionary dan serangan orang-orang munafiq tanpa berkorban.
Selain daripada mengorbankan harta benda dan wang ringgit, Islam juga menuntut orang-orang beriman berkorban dalam beberapa aspek yang lain, iaitu:
1. Mengorbankan diri di jalan Allah
Sesungguhnya Allah SWT menghendaki orang beriman mencagarkan dirinya, di samping hartanya, untuk mendapatkan habuan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 111.
إِنَّ اللهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لُهُمُ الْجَنَّةَ
يُقَاتِلُوْنَ فِىْ سَبِيْلِ اللهِ فَيَقْتُلُوْن وَيُقْتَلُوْنَ..الأية
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga disebabkan mereka berjuang pada jalan allah maka di antara mereka ada yang membunuh dan terbunuh." - At-Taubah, ayat 111
Sahabat dan akhowat sekalian,
Natijah terakhir bagi mereka yang mengorbankan dirinya di jalan Allah ialah sama ada mendapat syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah. Sesungguhnya kita semua pasti akan mati, maka kita perlulah merancang kematian kita akan mendapat kematian yang terbaik.
Di sini saya ingin menjelaskan perbezaan di antara syahid di jalan Allah dan mati jalan Allah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 157 dan 158:
"Dan sungguh jika kamu terbunuh di jalan Allah atau mati, tentulah ampunan Allah dan kasihsayang-Nya lebih baik (bagimu) dari harta yang mereka kumpulkan. Dan sungguh jika kamu mati atau terbunuh, tentulah kepada Allah-lah kamu dikumpulkan."
Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, terbunuh atau syahid di jalan Allah bermakna terbunuh di tangan musuh Allah di medan jihad di jalan-Nya.
Manakala, mati di jalan Allah bermakna seorang Muslim itu mati ketika sedang melakukan amal Islami yang diredhai Allah, seperti berdakwah di jalanNya dan melakukan pelbagai kerja-kerja Islam bertujuan untuk memperkuat atau mengukuhkan Islam.
Sama ada seseorang itu syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah, maka kedua-dua jenis kematian itu adalah kematian yang mulia. Kedua-keduannya akan mendapat kasih sayang Allah dan keampunan Allah daripada segala dosanya. Justeru itu, hadirin dan hadirat sekelian, hendaklah setiap detik dalam kehidupan kita, sentiasa berada di jalan Allah, di atas jalan dakwahNya. Jangan sekali-kali kita terkeluar daripada jalan dakwahNya kerana kita tidak tahu bilakah kematian itu akan tiba. Inilah yang saya maksudkan dengan kita merancang kematian yang terbaik di sisi Allah SWT.
2. Jenis pengorbanan yang berikutnya ialah mengorbankan waktu dan kesungguhan
Rasulullah SAW adalah menasihatkan kita, dalam hadithnya (riwayat Al-Hakim), bahawa:
“Manfaatkanlah 5 keadaan sebelum datang 5 (keadaan) yang lain (yakni):
Hidupmu sebelum matimu
Sihatmu sebelum sakitmu
Waktu lapangmu sebelum sebokmu
Mudamu sebelum tuamu
Kayamu sebelum miskinmu”
Imam Hasan Al-Banna pula ada menyatakan, “waktu adalah kehidupan”. Ini bermakna apabila seseorang itu mengsia-sia waktu, bermakna beliau mengsia-siakan kehidupannya. Justeru itu saya menyeru kepada hadirin dan hadirat sekelian, marilah sama-sama kita menguruskan waktu kita di jalan Allah dengan baik seperti untuk mendekatkan diri dengan Allah, berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak-anak, menunaikan hak-hak ahli keluarga, menjayakan projek-projek Islam, mencari nafkah hidup dan sebagainya. Kita peruntukan waktu kepada tiap-tiap yang berhak itu akan haknya dengan adil dan bijaksana. Pendek kata seluruh waktu kita dipergunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat untuk Islam dan untuk dakwah Islamiyah.
Janganlah hendaknya kita hanya leka dengan keseronokan dunia dan menggunakan waktu untuk kepentingan peribadi dan keluarga sahaja, dan kita abaikan tugas dakwah kepada masyarakat dan kita membiarkan masyarakat dirosakkan oleh musuh-musuh Islam. Marilah kita sama-sama beringat-ingat akan pesanan Rasulullah SAW (daripada riwayat At-Termizi, yang bermaksud), antara lain:
“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menjadikan kekayaan di dalam hatinya, mengumpulkan segala urusannya, dan dunia datang kepadanya dengan merendahkan diri. Sedangkan sesiapa saja yang menjadikan dunia sebagai tujuannya maka Allah pasti akan menjadikan kefakiran bertahta di antara kedua matanya, mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kecuali yang ditetapkan untuknya sahaja.”
Sahabat & akhowah HALUANSiswa yang dihormati sekalian,
Sebagai penutupnya, marilah sama-sama kita berkorban sepanjang hayat. Berkorban dalam erti kata yang luas, meliputi pengorbanan harta benda, tenaga, diri sendiri, waktu dan kesungguhan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Juga pengorbanan dalam pelbagai bidang dakwah dan jihad seperti berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak dan ahli keluarga, membangunkan pelbagai institusi Islam dan sebagainya.
Al Faqir Ilallah,
Sdr Solehuddin Shuib
Pengerusi HALUANSiswa Nasional
Shah Alam, Selangor
9 November, 2009
21 Zul Qa’idah, 1430H














