Assalamualaikum wbt,
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Sekali lagi tanpa jemu-jemu ingin mengajak diri saya dan HALUANSiswa sekalian untuk sama-sama kita terus pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan terus iltizam dan patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan segala tegahan-Nya.
Kita semua perlu menjaga asas syarak dalam segala aktiviti dan projek yang kita lakukan. Seperti mana yang selalu diingatkan dengan satu kaedah syarak iaitu:
a. Matlamat tidak menghalalkan cara
b. Apa yang baik adalah apa yang syarak kata baik, apa yang buruk itu adalah apa yang syarak kata buruk.
Justeru itu hal ini perlu sentiasa sama-sama kita semak dari masa ke masa.
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Di dalam kesibukan kita melakukan tarbiah dzatiyah dan menyebarluaskan dakwah ke masyarakat, aspek yang amat paling asasi ialah kita sentiasa menjaga niat kita. Niat kita semestinya dalam rangka mencari mardhatillah. Amalan yang mencari mardha-mardha yang lain akan menjadi debu-debu yang berterbangan, tidak ada nilainya di sini Allah SWT. Pentingnya ikhlas kerana ia adalah perintah Allah Subhanahuwata’ala dan menjadi syarat utama agar kehidupan seseorang itu diterima atau diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَمَا أُمٍرُوا إٍلَّا لِيَعْبُدُوا اللَه مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّينَ
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan keta’atan kepadaNya” (Al Bayyinah 95:5)
Imam Hasan Al Banna menyatakan:
“Ikhlas ialah setiap akh muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala daripadaNya. Semua perkataan, amalan dan jihadnya tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan itu dia menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar keinginan atau manfa’at.”
Justeru itu, da’wah Islam hanya boleh tertegak dengan adanya Haluansiswa yang ada sifat-sifat da’i, murabbi dan pekerja yang ikhlas, yang berpegang teguh kepada prinsip dan yang bersedia berkorban tanpa mengira manfa’at duniawi.
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Seperti yang kita sedia maklum, tahun baru hijrah sudah menghampiri kita. Begitu pantas masa berlalu. Sama-samalah kita muhasabah apa yang telah kita capai sepanjang tahun ini. Hijrah mempunyai konsep yang luas. Hijrah pada umumnya ialah perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat dan perubahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Ini merangkumi perpindahan atau perubahan fizikal dan spiritual.
Di antara panduan dan pengajaran yang dapat diperolehi dari peristiwa hijrah ialah:
1. Wajib ikhlas kerana Allah dalam menghijrahkan jiwa daripada segala keburukan kepada kebaikan dan kebenaran. Perjuangan menegakkan aqidah Islam dan menentang musuh-musuh Allah mestilah diasaskan di atas jiwa yang bersih dan ikhlas.
2. Hijrah adalah pengorbanan, kesabaran dan keazaman mengejar cita-cita. Ia bukan penyerahan diri dan putus asa. Pengajaran dari peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memberikan kekuatan kepada umat Islam agar bersabar menanggung penderitaan dan bersabar menunggu pertolongan Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu umat Islam tidak seharusnya berputus asa, merasa rendah diri, menyerah kalah dan bermuka-muka kerana sesuatu tawaran atau tekanan daripada musuh.
3. Peristiwa hijrah memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa di dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran memerlukan kemantapan syakhsiyah dan kekuatan kebendaan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, setibanya di Yathrib, baginda membentuk angkatan jihad yang kuat dan terlatih.
4. Peristiwa hijrah juga memberikan panduan bahawa di dalam memperjuangkan kebenaran, perencanaan yang detail dan sistematik dalam meletakkan strategi dan mengatur taktik adalah sangat diperlukan.
5. Peristiwa hijrah juga memberi panduan kepada umat Islam bahawa sesuatu perjuangan menegakkan kebenaran, pejuang-pejuangnya hendaklah terlebih dahulu diikat dan dihubungkan antara satu sama lain dengan ikatan ukhuwah Islamiyah dan kasih sayang yang suci.
Ringkasnya perubahan individu tersebut mestilah bertunjangkan perubahan dalaman, iaitu perubahan jiwa.
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Sebagai penutupnya, marilah kita menjadikan tahun yang mendatang ini menjadi lebih baik dan gemilang dari tahun ini. Kita, Haluansiswa Nasional telahpun merancang pelbagai program-program dakwah dan tarbiah sepanjang tahun hadapan. Antaranya ialah pembinaan generasi kepimpinan, pembinaan generasi yang menguasai toroiq tarbiah, dan perlaksaaan projek pertambahahan ahli baru menerusi dakwah fardiah secara terancang di lokaliti masing-masing. Semoga usaha kita yang kecil ini diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.
“Selamat Tahun Baru Hijrah 1431H"
Al Faqir Ilallah,
Sdr Solehuddin Shuib
Pengerusi HALUANSiswa Nasional
Shah Alam, Selangor
15 Disember, 2009
28 Zulhijjah, 1430H















