Assalamu'alaikum wbth,

Saya mengajak diri saya dan mahasiswa/i sekalian, marilah kita terus pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah swt dengan terus التزام dan patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan segala tegahan-Nya. Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sesungguh-sungguh taqwa, sepertimana firman-Nya:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam."
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Bahang peperiksaan akhir semester sudah terasa bagi para mahasiswa/i yang ada. Dalam keadaan kesibukan kita membuat persiapan peperiksaan. Peranan kita sebagai pelajar/mahasiswa tidak boleh hilang. Apabila melihat kepada carta di atas, peranan kita bermula dengan membetulkan niat kita. Visi kita belajar ialah untuk mendapat redha Allah swt dan Rahmatnya. Manakala misi kita belajar ialah untuk beribadah dan menjadi khalifah Allah SWT.
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk berubudiyah kepadaKu" - 51:56
Setelah niat kita jelas, inilah yang akan mendorong kita bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu. Di dalam Islam, menuntut ilmu adalah wajib. Kita perlu menimba ilmu sehingga kita menjadi pakar dan menjadi sarjana dalam bidang yang kita ceburi.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” -Riwayat al-Bazzar
Dalam mencapai usaha murni ini kita perlu sentiasa mentazkiyah diri kita. Hati kita perlu sentiasa bersih dan jernih. Jiwa kita tidak terdedah kepada pelbagai gangguan dan musuh sama ada musuh yang nampak ataupun yang tidak nampak yang terdiri dari syaithan dan manusia.
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaithan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaithan, maka sesungguhnya syaithan itu menyuruh perbuatan yang keji dan munkar" - 24:21
Halangan-halangan ini boleh dihindari dan diatasi dengan sentiasa berada dalam suasana tarbiah Islamiah. Di dalam tarbiah, iman kita, akhlak kita dan aspek kepimpinan kita akan dididik dan diasuh. Selain daripada itu, suasana persekitaran yang baik (biah Solehah) juga amat penting untuk kita cari dan berada di dalamnya.
"Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk." -HR Bukhari
Setelah diri kita terbentuk dengan baik, kita ingin pula melakukan kerja yang terbaik. Apakah kerja yang terbaik itu? Jawabnya, kita menjadi manusia atau insan yang melakukan kerja dakwah dan kebajikan.
"Sesungguhnya Tuhanmu adalah Yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." -An-Nahl : 125
SELAMAT MAJU JAYA DALAM MENEMPUH PEPERIKSAAN AKHIR DALAM MEMBANGUNKAN UMMAH
Al Faqir Ilallah,
Sdr Solehuddin Shuib
Pengerusi HALUANSiswa Nasional
Shah Alam, Selangor
5 Oktober, 2010
26 Shawal, 1431H













