Assalamualaikum wbt,
Saya ingin mengajak diri saya dan HALUANSiswa sekalian untuk sama-sama kita terus pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan terus iltizam dan patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan segala tegahan-Nya.
Terasa begitu kerdil diri hamba ini apabila telah dipilih menjadi tetamu-Nya. Terlalu banyak perkara yang telah dipelajari sepanjang berada di tanah suci. Antara yang penting ialah aspek kekuatan hubungan dengan Allah, aspek tawakkal dan berserah diri kepada-Nya, aspek persaudaraan sesama Islam yang terdiri dari pelbagai bangsa, dan aspek kekuatan fizikal dan maddi itu sendiri. Elok sungguh jika orang-orang muda dapat tunaikan haji awal (jika boleh sebelum masuk 40 tahun). Sekitar 20 orang ahli-ahli Haluan pergi menunaikan haji pada kali ini. Semoga Allah SWT memberikan Haji yang mabrur kepada mereka semua dan meningkatkan syu’ur dakwah, tarbiah dan jihad apabila pulang ke tanah air, insha Allah. Hakikatnya ibadah Haji merupakan satu stesyen daripada daripada banyak stesyen yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya untuk mengambil bekalan bagi bertemu dengan-Nya.
Tahniah juga kepada kepada beberapa orang mahasiswa/i HALUANSiswa yang turut menyertai Misi Kemanusiaan Merapi, Indonesia membantu saudara-saudari Muslim kita di sana. Kita sedia maklum yang ‘aqidah saudara-saudara kita terancam dengan dakyah Kristian. Semoga lebih ramai lagi daripada kita yang dapat terlibat membantu. Anggaplah sumbangan yang diberikan itu adalah tadrib untuk diri kita.
Sepanjang cuti panjang semester kali ini, HALUANSiswa perlu lebih proaktif mendidik diri, dan berbakti kepada masyarakat. Banyak aktiviti-aktiviti HALUAN yang boleh kita libatkan diri bagi mengisi masa lapang yang ada. Kita juga terlibat dengan program mendidik remaja seperti Kem Minda Kreatif yang berjalan di seluruh negara, menjadi fasilitator Kursus Jatidiri di peringkat zon anjuran HALUAN, aktiviti Misi Pelayaran Malaysia ke Palestin dan aktiviti-aktiviti di lokaliti masing-masing. Aktiviti-aktiviti ini sebenarnya penting untuk kita mengasah bakat kepimpinan. HALUANSiswa perlu mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi yang menjadikan Rasul SAW sebagai model kita.
Sahabat dan akhowat sekalian,
Kita telahpun menyambut Hari Raya Eidil Adha. Antara tarbiah utama Eidil Adha ialah mengajar kita hakikat pengorbanan. Sesungguhnya di dalam Islam, erti pengorbanan mempunyai dimensi yang luas. Pengorbanan itu dituntut dalam pelbagai aspek kehidupan orang-orang yang beriman kepada Allah. Tidak akan tertegak amal Islami untuk mengembalikan semula Islam yang telah dihina kepada kedudukannya yang tinggi dan mulia tanpa berkorban. Tidak akan tertegak dakwah Isalmiyah untuk menyeru seluruh manusia supaya kepada din Allah SWT tanpa berkorban. Tidak akan tertegak jihad untuk menentang serangan musuh-musuh Allah seperti serangan dari golongan Yahudi, golongan Nasrani, gerakan misionary dan serangan orang-orang munafiq tanpa berkorban.
Selain daripada mengorbankan harta benda dan wang ringgit, Islam juga menuntut orang-orang beriman berkorban dalam beberapa aspek yang lain, iaitu:
1. Mengorbankan dan mewakafkan dirinya di jalan Allah SWT
Sesungguhnya Allah SWT menghendaki orang beriman mencagarkan dirinya, di samping hartanya, untuk mendapatkan habuan syurga Allah SWT.
Natijah terakhir bagi mereka yang mengorbankan dirinya di jalan Allah ialah sama ada mendapat syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah. Sesungguhnya kita semua pasti akan mati, maka kita perlulah merancang kematian kita akan mendapat kematian yang terbaik.
2. Jenis pengorbanan yang berikutnya ialah mengorbankan waktu dan kesungguhan
Rasulullah SAW adalah menasihatkan kita, dalam hadithnya (riwayat Al-Hakim), bahawa:
“Manfaatkanlah 5 keadaan sebelum datang 5 (keadaan) yang lain (yakni):
Hidupmu sebelum matimu,
Sihatmu sebelum sakitmu,
Waktu lapangmu sebelum sebokmu,
Mudamu sebelum tuamu,
Kayamu sebelum miskinmu”
Imam Hasan Al-Banna pula ada menyatakan, “Waktu adalah kehidupan”. Ini bermakna apabila seseorang itu mengsia-sia waktu, bermakna beliau mensia-siakan kehidupannya.
Justeru itu saya menyeru kepada HS sekalian, marilah sama-sama kita menguruskan waktu kita di jalan Allah dengan baik seperti untuk mendekatkan diri dengan Allah, berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak-anak, menunaikan hak-hak ahli keluarga, menjayakan projek-projek Islam, mencari nafkah hidup dan sebagainya. Kita peruntukan waktu kepada tiap-tiap yang berhak itu akan haknya dengan adil dan bijaksana.
Pendekata seluruh waktu kita dipergunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat untuk Islam dan untuk dakwah Islamiyah.
Janganlah hendaknya kita hanya leka dengan keseronokan dunia dan menggunakan waktu untuk kepentingan peribadi dan keluarga sahaja, dan kita abaikan tugas dakwah kepada masyarakat dan kita membiarkan masyarakat dirosakkan oleh musuh-musuh Islam.
Marilah kita sama-sama beringat-ingat akan pesanan Rasulullah SAW (daripada riwayat At-Termizi, yang bermaksud), antara lain:
“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menjadikan kekayaan di dalam hatinya, mengumpulkan segala urusannya, dan dunia datang kepadanya dengan merendahkan diri. Sedangkan sesiapa saja yang menjadikan dunia sebagai tujuannya maka Allah pasti akan menjadikan kefakiran bertahta di antara kedua matanya, mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kecuali yang ditetapkan untuknya sahaja.”
Sahabat dan akhowat sekalian,
Sebagai penutupnya, marilah sama-sama kita berkorban sepanjang hayat. Berkorban dalam erti kata yang luas, meliputi pengorbanan harta benda, tenaga, diri sendiri, waktu dan kesungguhan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Juga pengorbanan dalam pelbagai bidang dakwah dan jihad seperti berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak dan ahli keluarga, membangunkan pelbagai institusi Islam dan sebagainya.
Al Faqir Ilallah,
Sdr Solehuddin Shuib
Pengerusi HALUANSiswa Nasional
Shah Alam, Selangor
29 November, 2010
22Zulhijjah, 1431H













