Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Alhamdulillah, selayaknya setinggi rasa syukur kita hadirkan dalam diri, memuji keagungan Allah, merasai kekuasaan Allah meliputi segala-gala yang terlihat dan tidak terlihat. Allah mengurniakan kita peluang hidup ini, memperbaiki amalan-amalan diri ini, agar dapat bertemuNya kelak dalam keadaan terbaik.
Selawat dan salam ke atas junjungan kekasih Allah SWT, Muhammad SAW dan juga para ahli keuarga baginda serta sahabat-sahabat baginda. Allah SWT telah mengurniakan kita, ummat akhir zaman seorang pemimpin dan penunjuk jalan kebenaran ini. Baginda mencontohkan kita satu jalan yang suci dan murni, jalan yang paling selamat untuk pulang dalam keadaan yang paling mulia bertemu Allah SWT nanti. Salallahu’ala Muhammad, Sallahu’alaihi wasallam.
Alhamdulillah, kesempatan kali ini, Allah mengizinkan peluang untuk bersama-sama memperingati diri ini dan sekalian penggerak siswa dan siswi. Khaifahalukum? Khaifa imanukum? Khaifa ‘ibadatukum? Semoga semuanya baik-baik belaka, sihat wal’afiah.InsyaAllah.
Siswa dan siswi yang dimuliakan Allah,
Melihat kepada perjalanan hidup baginda Rasulullah SAW dan para sahabat-sahabat baginda, kita seharusnya menanamkan satu azam yang tinggi dan tekad yang bersungguh-sungguh untuk tampil seperti mereka. Islam dan iman yang mereka gambarkan bukanlah semata-mata teori yang diwahyukan. Islam dan iman yang mereka pamerkan bukanlah semata-mata kata-kata nasihat yang menginsafkan. Tetapi, Islam dan iman yang lahir dari diri mereka adalah Islam dan iman yang sebenarnya.
Bukanlah bermaksud Islam dan iman kini telah dipesongkan dan tidak yang sebenarnya. Tetapi, Islam dan iman yang berbaki kini hanyalah semata-mata ilmu yang dibukukan, ceramah-ceramah lantang yang dikasetkan dan diperdengarkan tanpa pengamatan mendalam yang penuh dengan kesedaran Iman dalam hati. Bagaimana pula hakikatnya hubungan kita dan Islam? Bagaimana Iman yang terdapat pada kita?
Siswa-siswi yang dirahmati Allah,
Perkara utama dan terpenting adalah Islam dan iman itu kita hadirkan dan wujudkan di dalam dan luar diri kita. Islam dan iman itu tidaklah hanya kita sebut-sebut dan kita katakan tanpa tindakan-tindakan sepatutnya. Jika kita menyatakan Islam dan iman itu indah, adakah pada diri kita, kita pamerkan keindahan Islam dan iman itu? Jika kita menyatakan Islam dan iman itu adil, adakah kita tonjolkan sifat-sifat adil dalam diri kita?
Apa yang harus kita bimbangkan, jika perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Apa yang kita pamerkan bertentangan dengan sifat Islam dan iman itu sendiri. Naudzubillahi min zalik.
Seperti mana sabda baginda Rasulullah SAW:
“Iman itu bukanlah angan-angan atau cita-cita, tetapi iman itu adalah apa yang tertanam dalam hati lalu dibuktikan dengan amal”
Oleh itu, hendaklah kita buktikan islam dan iman yang kita dokongi ini dengan amal dan akhlak peribadi kita. Haruslah kita berusaha mewujudkan nilai-nilai Islam dalam diri kita biarpun sedikit, seterusnya, kita usahakanlah untuk mewujudkan nilai Islam dan iman itu dalam suasana sekeliling kita. Menggerakkan suasana-suasana sekeliling untuk merasai dan menyedari akan kesyumulan Islam. Inilah kaedah dakwah yang telah ditunjukkan baginda Rasulullah SAW.
Siswa-siwi yang dikasihi Allah SWT,
Masyarakat Islam yang wujud pada masa ini kabur dan samar-samar akan Islam yang sebenarnya. Mereka melihat Islam hanya tidak lebih daripada solah, zakat, puasa dan ibadah haji. Mereka menyangkakan Islam mereka telah cukup sempurna apabila segala perkara di atas telah mereka laksanakan. Walhal, hubungan hati mereka masih jauh dengan Allah, malahan mereka juga ragu-ragu dengan kewujudan Allah. Jiwa mereka masih dahagakan petunjuk dan bimbingan.
Keadaan ini haruslah kita sedari dan bersama-samalah kita membuka belenggu pemikiran ini. Bersama-samalah kita rancakkan medan dakwah kita ini. Kita gerakkan seluruh tenaga dan kudrat yang ada untuk kita sampaikan dan khabarkan kepada mereka bahawa Islam dan iman itu adalah lebih indah daripada apa yang mereka sangkakan. Islam dan iman itu lebih lazat dan mengasyikkan daripada apa yang mereka rasakan. Islam dan iman itu lebih mendamaikan dan menghiburkan daripada apa yang mereka hayati.
Melihat kepada suasana kini, tidakkah kita melihat bahawa seolah-olah masyarakat menggap Islam itu suatu dongeng sahaja. Mereka melihat Iman itu hanyalah satu khayalan ilusi yang sukar direalisasi. Mereka melihat Taqwa itu seakan-akan mitos yang mustahil dikecapi. Mereka kebuntuan, mereka tidak melihat Islam sepertimana kita lihat, mereka tidak merasai Iman sepertimana kita rasai, mereka tidak dididik sepertimana kita dididik. Adakah mereka yang memilih untuk begitu? Adakah kita yang memilih untuk begini?
Siswa-siswi yang disayangi Allah SWT,
Alhamdulillah, seharusnya kita begitu berbesar hati dan dengan penuh rasa insaf merasai betapa Allah kasihkan kita. Betapa Allah telah muliakan kita. Menempatkan kita dikalangan pendakwah, mengajak dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah serta melarang kepada kemungkaran. Haruslah kita sedari, kita seterusnya bertanggungjawab mengajak masyarakat yang lain untuk bersama merasai kenikmatan Islam dan Iman ini.
Islam dan Iman ini bukanlah untuk dirasai berseorangan lalu mengabaikan masyarakat sekeliling. Bukankah Rasulullah SAW telah mencontohkan hal ini kepada kita? Baginda tidak menyendiri, hanya beribadah sendirian kepada Allah SWT, malahan baginda bersungguh-sungguh sehingga sanggup mengadaikan nyawa menyebarluaskan kenikmatan ini. Baginda sentiasa memikirkan umatnya yang masih jauh dari kerahmatan Islam dan Iman ini dan menoakan mereka agar diberikan petunjuk oleh Allah SWT.
Masyarakat yang hadir bersama kita dizaman ini adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, adakah kita masih mampu berdiam diri, duduk memangku lengan disofa-sofa empuk, berbaring ditilam-tilam lembut? Tahukah kita ini adalah tanggungjawab? Tanggungjawab bukanlah pilihan tetapi adalah kemestian dan semestinya dilaksanakan sebelum bertemu Allah nanti.
Siswa-siswi yang disucikan Allah SWT,
Sentiasalah kita kembali kepada Allah, lahirkanlah keyakinan hanyasanya kepada Allah, tempat pegantungan hanyasanya kepada Allah, memohon ampunan dan bantuan hanyasanya kepada Allah. Menyedari segala yang kita miliki, kita kecapi dan kita perolehi semuanya bakal kembali kepada Allah. Kita meyakini bahawa jiwa dan diri kita juga bakal kembali kepada Allah SWT.
Sentiasalah kita berusaha bersama-sama untuk lebih dekat kepada Allah SWT, lebih meyakini akan Islam dan Iman yang kita dokongi ini. Sentiasalah juga kita pamerkan Islam dan Iman dalam amal perbuatan hanyasanya demi meraih keredhaan Allah SWT. Laksanakanlah kewajipan berdakwah ini dimana jua kita berpijak. Semoga Allah merahmati dan memberkati segala usaha kita. insyaAllah. Bersama-samalah kita beramal dengan Islam dan Iman.
Wallahualam.
Muhammad Siddiqi b Jamaluddin
Presiden Siswa HALUAN.












