H A L U A N S i s w a

Bersahsiah Dekat & Bererti

You are here: Laman Utama Bicara Pengerusi Hidayah Allah Itu Beserta Tanggungjawab

Hidayah Allah Itu Beserta Tanggungjawab

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh..

“Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kami ke (syurga) ini, dan kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjukkan kami”

Alhamdulillah. Setinggi- tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerana dengan izin dan perkenanNya jua, saya diberi kesempatan untuk mencoretkan sesuatu, buat peringatan diri saya terutamanya, yang sering lupa. Dan semoga bermanfaat juga buat sahabat- sahabat semua.

Selawat dan salam buat Rasul junjungan besar, Rasul saw, para sahabat dan ahli keluarga baginda, yang dengan air mata dan darah mereka, kita bisa mengecap dua nikmat terbesar pada saat ini, iaitu nikmat IMAN dan ISLAM.

Di kesempatan yang singkat ini, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat- sahabat sekalian, mari kita ‘pause’ kan masa sebentar, kosongkan hati dari urusan dunia, lapangkan minda dari segala macam fikirannya, lepaskan segala resah yang membelenggu jiwa. Mari kita duduk sejenak, untuk kembali ingat kepada Allah swt. Mari kita duduk sejenak, untuk kembali beriman kepada Allah swt.

Review tujuan kita diciptakan.

Sahabat- sahabat yang dikasihi sekalian,

Apakah pada saat ini, kita yakin dan jelas bahawa kita telah persiapkan bekal untuk dibawa pulang mengadap Allah swt? Benarkah kita telah persiapkan sesuatu untuk menjadi bekal kita kelak? Dan apakah bekal itu, menurut pandangan Allah akan membawa kita ke syurgaNya, atau ke nerakaNya? Mari kita sama- sama teliti semula akan perkara yang besar lagi penting ini.

Perkara yang paling utama, pokok kepada inti perkongsian kita pada kali ini adalah, mari kita mengerti dulu perkara yang paling asas dalam kehidupan kita. Apa tujuan kita diciptakan ya? Allah ada berfirman dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 [51:56] yang bermaksud,

“Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka berubudiyah (beribadah) kepada-Ku (Allah)”.

Maka, sesuai dengan penciptaan kita sebagai manusia yang tidak diciptakan dengan sia- sia, pastinya Allah telah menetapkan apa yang terbaik bagi kita menurut-Nya. Renungi firman-Nya dalam dalam surah Ali ‘Imran ayat 19 [3:19] yang bermaksud,

“Sesungguhnya deen (cara hidup) di sisi Allah adalah ISLAM”.

Nah, telah jelas bagi kita bahawa yang selain ISLAM itu bukanlah cara hidup yang paling cocok buat kita sebagai hamba dan khalifah-Nya. Pastinya yang mencipta itu lebih tahu dan mengenali makhluk ciptaannya, bukan?


Semak bekal untuk dibawa pulang.

Sahabat- sahabat seperjuangan sekalian,

Agaknya, apa bekal yang hendak kita bawa pulang, ya? Bagi menyatakan hal ini, saya hadirkan firman-Nya dalam surah Al- Baqarah ayat 197 [2:197] yang berbunyi,

“Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik- baik bekal adalah TAQWA”.

Kita telah ketahui, bekal yang terbaik adalah taqwa. Namun, bagaimana mahu membinanya? Baiklah. Saya titipkan perkongsian dari murabbi buat tatapan kita bersama. Ada 4 cara untuk membina diri kearah menggapai taqwa di sisi Allah swt.

1. Al- Quran sebagai sumber pendidikan.
Hadith Rasul saw “Dua sumber yang jika kamu berpegang teguh padanya, maka kamu tidak akan sesat selamanya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah”. [Al-Hadith] Maka, gigitlah keduanya dengan gigi geraham kamu, nescaya kamu tidak akan sesat dan terpesong.

2. Pendekatan Al- Quran untuk dilaksanakan.
Al-Quran sebagai sumber rahmat dari Allah swt. Isinya bukan hanya untuk ditatap, tapi juga untuk diamalkan. Sepertimana yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah ra apabila ditanya mengenai akhlaq Rasul saw, “Akhlaq baginda adalah Al-Quran.” [Al-Hadith]

3. Putuskan hubungan dengan jahiliyah
Islam itu tidak akan dapat ditegakkan melainkan dengan runtuhnya jahiliyah. Sepertimana cahaya itu tidak akan dapat memasuki bilik gelap yang tiada lubang cahaya. Selagi mana jahiliyah itu masih terpahat dalam diri dan hati kita, mana mungkin Islam akan bersemadi.

4. Himpunkan hati- hati yang IKHLAS
Dalam melaksanakan kerja- kerja mengajak diri dan orang lain kepada Allah swt ini, tidak dapat tidak, kita perlu melaksanakannya BERSAMA- SAMA. Ibarat pepatah, kijang yang tidak berada dalam kumpulannya akan dibaham singa. Bergerak bersama- sama pasti lebih indah kerana di saat lemah, ada yang menguatkan, di saat resah ada yang menenangkan, di saat terjatuh pasti ada yang menghulurkan tangan.

Permasalahan umat yang perlu diselesaikan segera.

Sahabat- sahabat yang ikhlas,

Saya sedar, kita semua setiap orang mempunyai tugas dan tanggungjawab masing- masing. Kita semua sibuk dengan kerja- kerja kita masing- masing sehingga adakalanya kita terlupa, terabai dan terlepas pandang pada tugas asasi kita iaitu kerja mengajak diri dan orang lain kepada penghayatan Islam yang sebenar, mengajak kepada Allah swt.

Teringat pesan seorang murabbi, sibukkanlah diri kita dengan amal qawi iaitu amal yang mendatangkan pahala di sisi Allah swt. Sibukkanlah diri dengan amal qawi dalam membangunkan kembali umat yang sedang tidur lena. Kerana sifat umur itu, jika kita tidak disibukkan dengan aktiviti- aktiviti Islam, pasti kita akan disibukkan dengan aktiviti- aktiviti yang bersifat peribadi. Sedarilah sahabat- sahabat sekalian, hakikat Islam yang dagang ini. Kita punya tanggungjawab dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam sekarang ini iaitu masalah aqidah, masalah iman. Maka, tidak lain dan tidak bukan, KITA PERLU BEKERJA DAN BERGERAK. Bukan lagi hanya pandai dalam berkata- kata.


Tugas ini tanggungjawab bersama, jadikan sebagai saham.

Sahabat- sahabat berhati mulia,

Mari teliti firman Allah swt dalam surah An- Nur ayat 10 [24:10], “Dan sekiranya bukan kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepadamu (nescaya kamu akan menemui kesulitan). Dan sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Bijaksana.”

Sedarilah bahawa, tiada apa yang kita boleh bawa balik jumpa Allah, melainkan sedikit usaha kita dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini. Betapa tidak bermaknanya hidup kita jika kita tidak diselamatkan oleh Allah swt dari segala macam kemungkaran yang berlaku di mana- mana. Maka, selagi masih punya waktu dan kesempatan, marilah kita sama- sama kembali bertatih semula.

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah At- Taubah ayat 41) [9:41]

Walau payah, walau perit, yakinlah. Allah tidak pernah menzalimi hamba- hamba-Nya. Telah Allah sediakan buat yang yakin pada janji-Nya. Buktinya, firman Allah swt dalam surah As-Saff ayat 10-13 [61:10-13] yang bermaksud,

“Wahai orang- orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?  (10).  Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui (11). nescaya Allah mengampuni dosa- dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai- sungai, dan ke tempat- tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang agung (12). Dan ada lagi kurnia yang lain yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang- orang mukmin (13).

Pengalaman bermakna, dengan kombinasi terbaik.

Sahabat- sahabat generasi pewaris,

Jadikan segala mehnah dan tribulasi dalam perjalanan ini sebagai satu pengalaman yang paling bermakna dalam kehidupan kita. Kata seorang murabbi, “Pengalaman yang paling bermakna adalah pengalaman dalam melaksanakan kerja- kerja Islam.” Kita mungkin bukan orang yang terbaik, bukan manusia yang sempurna tapi kita adalah insan yang sentiasa berusaha meningkatkan potensi diri ke arah yang lebih baik di sisi Allah swt.

Kombinasi terbaik dalam melaksanakan amal ini adalah bila mana semangat orang muda itu diiringi dengan hikmah orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman. Kerna orang dewasa itu lebih dahulu merasai peritnya perjalanan panjang ini. Maka kita sebagai orang muda, ambillah hikmah dan pengalaman mereka sebagai satu pengajaran agar kelebihan mereka kita contohi, kekurangan mereka kita hindari kerana mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Selagi mana jalan yang dilalui oleh mereka adalah jalan yang kita yakini berdasarkan jalan yang juga dilalui oleh Rasul saw, maka selagi itu patuh dan turutilah langkah mereka.

Penutup.

Akhir kata daripada saya, marilah kita sama- sama melaksanakan tugas ini BERSAMA- SAMA. Saya petik kata- kata dari murabbi, “Kepimpinan kita dalam gerak kerja ini adalah ibarat IMAM saat solat jamaah. Kita patuh dan turutinya, bersama- sama. Bukanlah bermakna imam itu lebih baik dan makmum itu kurang baik, namun apa yang penting bagi Allah adalah siapa yang lebih khusyuk, siapa yang lebih dekat dengan Allah saat solat itu.” Syukurilah nikmat dan kesempatan yang terbentang luas yang dihadirkan oleh Allah kepada kita. Hargailah ia sementara masih punya waktu dan kesempatan. Sama- samalah kita bergerak meneruskan langkah sehingga saat terakhir dalam hidup kita. Ingatlah bahawa hidayah yang Allah berikan pada kita adalah beserta dengan tanggungjawab.

Wallahua’lam.

Ummu Ilyani Rusli
Timbalan Presiden, HALUANSiswa

 

Siapa Kami?

Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) ialah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah HALUAN Malaysia. Kelab ini menjadi platform kepada ahli-ahli yang terdiri daripada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara untuk bergabung tenaga bagi menjayakan visi dan misi HALUAN. PPM 969/88

Who's Online

We have 4 guests online

Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday40
mod_vvisit_counterYesterday93
mod_vvisit_counterThis week400
mod_vvisit_counterLast week918
mod_vvisit_counterThis Month40
mod_vvisit_counterAll days546594