Hidup manusia mesti tertegak di atas dasar iman yang jelas. Iman mestilah menjadi paksi dan pancaran dalam segala tindak-tanduk. Imanlah yang akan mendesak kepatuhan dan ketaatan yang bulat kepada Allah.
Iman para sahabat meliputi keyakinan hati, pengakuan di masjid ,di rumah, dalam keadaan sendirian, di hadapan umum, di waktu siang dan di waktu malam.
Iman yang benar berfungsi dalam semua keadaan hidup manusia .Seluruh sistem hidup mestilah dipandu oleh iman yang betul . Ketaatan dan kepatuhan kepada Allah mestilah berlaku dalam semua suasana hidup manusia . Tidak ada satu perkara pun dalam hidup yang boleh dipisahkan dari dipandu oleh iman . Inilah hakikat Islam. Iman yang benar tidak pernah terpisah dari Islam yang syamil dan kamil. Bukan namanya iman kalau ada pemisahan tertentu dalam aspek-aspek hidup manusia . Iman kepada Allah menuntut supaya mengambil Islam secara syumul dan mesti hidup dengan Islam yang syumul.
Keimanan itu menjadi hati atau jantung kepada Islam. Dalam hal ini , Dr Yusof Al-Qardawi menyebut:
"Tunggak pertama yang harus dimiliki mereka (anggota harakah) ialah Iman: iaitu Iman yang berdasarkan Al-Quran dan As Sunnah , dengan seperangkatan akhlak dan cabang-cabangnya yang berjumlah lebih dari tujuh puluh cabang itu. Iman dengan segala cabang-cabangnya yang telah disusun dalam berpuluh-puluh buku yang sekaligus nenjabarkannya. Jadi Iman itu bukanlah sekadar angan-angan dan hiasan belaka tetapi keyakinan yang terpateri di dalam dada dan dibuktikan dengan amal perbuatan nyata.”
Iman yang cuba dilahirkan melalui Proses Tarbiyyah Islamiyyah ini bukanlah sekadar angan-angan ataupun perhiasan bahkan Iman itu merupakan keyakinan dalam hati dan dibenarkan dengan amal. Ibnu Qayyim dalam menjelaskan mengenai hakikat kesyumulan iman menyebut bahawa:
“Iman mempunyai unsur lahir dan batin . Zahirnya adalah perkataan lidah dan amal anggota tubuh. Batinnya adalah pembenaran hati. Kepatuhan dan kecintaannya. Tidak ada zahirnya jika tidak disertai batin , sekalipun ada jaminan terhadap darah , harta , dan keturunannya. Batin tidak akan mendapat pahala seelagi tidak ada zahirnya, kecuali jika ada alas an yang masuk aqal seperti tidak mampu , dipaksa , atau takut. Tidak adanya amal secara zahir padahal tidak ada penghalangnya, merupakan bukti kerosakan batin atau kerana di dalamnya tidak ada iman . Kekurangan dalam amal menunjukkan kekurangan iman dan kekuatan amal menunjukkan kekuatan iman . Iman merupakan hati dan inti Islam.”
Iman sebagai dasar atau syarat penerimaan amal .Sebagai mana firman Allah:
“ Dan sesiapa yang mengerjakan amalan-amalan yang salih dari lelaki atau perempuan , sedangkan ia seorang yang beriman , maka mereka akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak akan dikurangi sedikit pun (pahala amalan mereka).”
An Nisaa`:124
Asy Syahi syed Qutb dalam Tafsir Fi Dzilalul Quran dalam menafsir ayat ini menegaskan bahawa :
“Keimanan itu adalah syarat bagi penerimaan sesuatu amalan dan mana-mana amalan yang tidak diterbit daripada keimanan dan tidak disertai oleh keimanan adalah tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah . Syarat ini memang tabi`i dan logikal kerana keimanan kepada Allah itulah yang menjadikan sesuatu perbuatan yang baik itu terbit dari kefahaman dan niat yang tertentu dan menjadikan perbuatan itu suatu harakat yang tabi`i dan teratur bukannya terbit kerana tujuan untuk memenuhi kehendak keinginan peribadi dan bukannya harakat yang kebetulan yang tidak diatur dengan rapi dan tidak ditegakkan di atas sesuatu asas atau dasar.”
Oleh itu, Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah Ta`ala kerana niat ikhlas menjadi menentu untuk suatu amalan itu diterima.
Disediakan Oleh:
Akhi Rakhaiz
University Yarmouk, Irbid, Jordan
akhi-rakhaiz.blogspot.com














