H A L U A N S i s w a

Bersahsiah Dekat & Bererti

You are here: Laman Utama Direktori Artikel Kesukarelawanan Mendekatkan Kita Kepada Allah

Kesukarelawanan Mendekatkan Kita Kepada Allah

E-mail Print PDF

Marilah sama-sama kita berusaha untuk mempertingkatkan takwa kita dengan gigih melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Sifat menghulurkan sumbangan dengan ikhlas hati adalah sifat yang sangat terpuji di dalam ajaran Islam. Malahan, kita dapati dari sejarah, bagaimana aktiviti manusia terdahulu kebanyakannya beredar dalam suasana kerja sukarela, yakni kerja yang ikhlas mengharapkan balasan Allah s.w.t. dan keredhaanNya. Sebagai contoh, Al-Quran membawa kisah Nabi Nuh a.s, ketika mana Baginda menyeru umatnya kepada segala bentuk kebaikan.

Firman Allah s.w.t :

yang maksudnya: Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata. (Surah Hud ayat 29)

Nabi Musa a.s. pula membantu golongan yang lemah di zaman Baginda, seperti di dalam kisah bantuan Baginda kepada dua orang wanita untuk mengambil air dari perigi yang dikerumuni kaum lelaki yang gagah perkasa. Nabi Khidir a.s. pula membantu membangunkan pondok usang yang hampir roboh kepunyaan dua orang anak yatim.

Para sahabat Nabi s.a.w pula sentiasa melakukan kerja sukarelawan demi menyebarkan kebaikan dan menyeru manusia kepada agama. Seperti kisah pembinaan masjid Quba’ di Madinah, sahabat bersatu hati membantu dalam menjayakan projek pembinaan masjid tanpa sebarang gantian wang. Al-Arqam bin Abi al-Arqam menyediakan ruang rumahnya untuk Nabi s.a.w menyebarkan dakwah Islamiyah di Mekah tanpa menuntut sebarang balasan di dunia. Banyak lagi kisah dalam Al-Quran mahupun Hadis yang menunjukkan semangat sukarelawan demi mengharap keredaan Allah s.w.t semata-mata.

Benarlah sabda Baginda Nabi s.a.w:

yang bermaksud: Ada 40 ciri (yang terpuji) yang paling tinggi nilainya ialah menghadiahkan seekor kambing betina, dan barangsiapa yang beramal dengan salah satu daripadanya dengan harapan pahala daripada Allah, dan yakin dengan janji-Nya, maka Dia (Allah) akan memasukkannya ke syurga. (al-Bukhari)

Imam Ibnu Hajar berkata bahawa di antara 40 ciri yang disebut dalam hadis ini ialah menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. 

Oleh yang demikian, semangat sukarelawan dan bantu-membantu harus wujud pada diri kita semua. Pastinya kita semua yakin dengan kelebihan membantu orang dan berkhidmat secara sukarelawan. Namun, sebagai peringatan, marilah kita lihat tiga manfaat utama dari sifat sukarelawan ini:

Pertama: Ia mengukuhkan lagi sifat keikhlasan dalam hati. Apabila kita melakukan sesuatu dengan harapan mendapat ganjaran daripada Allah, ianya akan lebih mendorong kita melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kita tidak akan mudah terkesan dengan sifat dan reaksi orang, tetapi sebaliknya, kita akan tertumpu melakukan kebaikan, kerana kita hanya mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.

Kedua: Ia membangkitkan kemesraan dan sifat rahmah serta ihsan dalam hidup kemasyarakatan. Membantu orang adalah terjemahan sifat rahmah yang ada pada diri kita, kerana kita tidak ingin melihat kesusahan pada orang lain, seperti mana kita tidak mahukan kesusahan bagi diri kita sendiri. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Barangsiapa yang melapangkan (kesusahan) yang dialami oleh seorang mukmin, Allah akan melapangkan kesusahannya, jika dia menutup keaiaban seorang mukmin, Allah akan menutupi keaibannya, dan Allah sentiasa memberi bantuan kepadanya selagi mana dia membantu saudaranya." (Riwayat al-Baihaqi)

Ketiga: Ia menghasilkan ketenangan hati dan kepuasan dalam jiwa. Ini kerana kerja yang dilakukan secara sukarela bermula dari hati yang ikhlas lagi rela, tanpa paksaan. Bahkan, membantu orang akan mendatangkan ketenteraman pada diri, kerana kita akan bertambah syukur kepada Allah s.w.t. di atas kesenangan yang kita nikmati, dan juga kerana kita dapat menggunakan nikmat tersebut untuk membantu orang lain.

Suasana ekonomi hari ini memberi kita peluang untuk menilai tahap iman kita menerusi kerja sukarela. Sebagai langkah pertama, kita boleh memulakan usaha menghulurkan bantuan secara sukarela di masjid-masjid atau surau. Kita boleh bersama-sama tawarkan khidmat dan sumbangan untuk menjayakan program-program di sana. Sekiranya kita ada kelebihan, maka kita boleh kongsi bersama dengan saudara kita yang lain. Kita boleh berusaha melapangkan kesempitan yang dihadapi saudara kita. Mungkin ada pula saudara kita di sini yang perlukan nasihat dan pendapat dalam pembelajaran dan kerjaya. Dengarlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan kita nilai sumbangan

yang maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling memberi manfaat kepada manusia yang lain. (al-Tabarani)

Semoga dengan menghulurkan sumbangan secara sukarela, kita menjadi umat yang disayangi Allah s.w.t dan seterusnya dihargai oleh masyarakat dunia sebagai umat yang sentiasa melakukan kebaikan dan menyumbang ke arah kebaikan.

Sebagai peringatan, ingatlah kepada firman Allah s.w.t:


Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran serta berpesan kepada kesabaran.

_______________

Adaptasi daripada teks khutbah jumaat Majlis Agama Islam Singapura.

www.haluan.org.my

 

Siapa Kami?

Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) ialah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah HALUAN Malaysia. Kelab ini menjadi platform kepada ahli-ahli yang terdiri daripada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara untuk bergabung tenaga bagi menjayakan visi dan misi HALUAN. PPM 969/88

Who's Online

We have 2 guests online

Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday243
mod_vvisit_counterYesterday305
mod_vvisit_counterThis week1404
mod_vvisit_counterLast week1955
mod_vvisit_counterThis Month842
mod_vvisit_counterAll days107826