Kehidupan kita adalah cerminan dari kehidupan jiwa kita. Ketika jiwa kita kuat, masalah yang besar kita rasakan kecil tetapi ketika jiwa kita lemah, masalah yang kecil-kecil kita rasakan terlalu membebankan.
Bagi manusia yang jiwanya kecil maka cita-citanya juga kecil dan remeh, kalau boleh makannya pun mahu dipembaringan tetapi manusia yang berjiwa besar akan mengolah kehidupannya untuk mencapai sesuatu yang tinggi dan mulia. Renungilah kata-kata Hassan Al Banna
"setiap kita yakin bahawa semua kita akan mati tetapi manusia yang berjiwa besar akan mengolah 'seni kematiannya'".
Ya mengolah 'seni kematian'. Mereka tidak mahu mati untuk perkara yang remeh temeh; mati kerana mencari nama atau kekayaan duniawi yang sementara tetapi mereka berlumba-lumba mencari pengampunan Allah dan syurganya yang seluas langit dan bumi. Mereka mencari keredhaan Allah di setiap pelusuk kehidupan. Khalid al Walid RA merasa begitu sedih kerana terpaksa mati diatas tempat pembaringannya bukan di medan perang sebagaimana kata-katanya yang menempelak mereka yang tidak mahu kemedan perang “Sungguh hina mereka takut berperang kerana takut mati sedangkan aku pernah menyertai ratusan peperangan dengan harapan aku mati syahid tetapi akhirnya aku hanya mati di atas katil sahaja”.
Umair Ibnu Al Hamam RA melemparkan kurmanya kerana tidak sabar untuk syahid di medan Badar al Kubra sebagaimana yang terakam dalam sirah Islam yang harum.
"Pada waktu perang Badar, seperti diriwayatkan dalam sebuah hadits shahih, Rasulullah SAW berkata kepada para pasukannya, “Wahai pasukan Badar, sesungguhnya Allah telah mengamati kalian lalu berfirman, “Berbuatlah apa yang kalian inginkan, sesungguhnya Aku telah mengampuni kalian.” Wahai Pasukan Badar, demi Dzat Yang jiwaku di Tangan-Nya, tidak ada antara kalian dan syurga kecuali bahwa mereka (musuh) membunuh kalian, lalu kalian akan masuk syurga.” (HR. Bukhari)
Salah seorang pecinta Rasulullah SAW seorang pemuda berusia tiga puluh tahun bernama ‘Umair ibn al-Hamam, datang menemui beliau. Dalam hati Umair itu telah berkobar api iman. Ia berkata, “Ya Rasulullah, aku bertanya kepadamu, demi Allah, benarkah tidak ada antara kami dan syurga kecuali bahwa musuh membunuh kami, lalu kami masuk surga?” Rasulullah SAW bersabda, “Ya, demi Dzat Yang jiwaku di tangan-Nya.” Waktu itu ‘Umair sedang menggenggam beberapa butir kurma, lalu ia melemparkannya sambil berkata, “Bakh bakh (artinya: luar biasa) Demi Allah, keterlaluan jika aku harus menunggu sambil memakan kurma-kurma ini” Kemudian ia pergi berjuang sampai terbunuh.
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (QS. Al-Fajr (89): 27-30)."
Jiwa mereka yang besar menjadikan mereka sebagai pemuda-pemuda pemburu syurga tetapi jiwa kita yang kecil menjadikan kita pemburu dunia yang tidak lebih beratnya dari sayap lalat.
Namun lebih malang lagi bagi manusia yang jiwanya mati. Mereka umpama kuburan yang bergerak, mereka melangkah dalam kehidupan ini dengan jiwa yang kosong, hati yang mati sehinggakan kehidupan mereka sentiasa diwarnai kekecewaan, hampa dan keputus asaan. Mereka menempuh hari-hari baru dengan penuh keterpaksaan sedangkan umur mereka adalah beban-beban yang bertambah. Semalam bagi mereka adalah sebuah mimpi ngeri sedangkan esoknya adalah misteri yang mengumpulkan segala ketakutan dan keraguan.
Kehidupan mereka tidak terlalu berbeza dengan kematian bahkan kadang-kadang mereka melihat kematian sebagai penyelesaian sedangkan kematian itulah sebenarnya permulaan bagi kehidupan yang kekal abadi. Kehidupan yang akan menentukan samada kita bahagia atau celaka selama-lamanya. Kehidupan yang akan menetukan samada kita kekal di syurga yang penuh kenikmatan atau neraka yang padat dengan azab dan penyiksaan.
Tulisan: Azmi Bahari













