H A L U A N S i s w a

Bersahsiah Dekat & Bererti

You are here: Laman Utama Email Pilihan Cerpen: SEPI

Cerpen: SEPI

E-mail Print PDF

PROLOG

"Encik, dah sampai, Alhamdulillah".

 

Teguran anak kapal mematikan lamunannya.
Terus dia mengambil bagasi dan keluar dari perut kapal. Tidak sabar untuk melihat daerah yang telah lama dia tinggalkan.

"Subhanallah, pelabuhan ni masih tidak berubah", dia bermonolog.

"Daerah Sepi…"

*****

BAHAGIAN 1 - Daerah Sepi

Sudah 10 tahun dia meninggalkan daerah itu. Walaupun dia pernah tinggal untuk tempoh yang agak lama di situ, Munsyi masih tak pasti tentang asal usul nama daerah itu. Ada yang mengatakan daerah itu pernah dijadikan tempat penggambaran cerita 'Sepi' yang pernah pecah panggung lama dahulu. Ada juga mengaitkan nama tersebut dengan suasana pelabuhan daerah itu yang syahdu. Wallahualam.

Daerah Sepi dahulunya dipenuhi dengan teman-teman seperjuangannya sebelum mereka meninggalkan daerah itu beramai-ramai. Kedatangannya pada kali ini pun hanya semata-mata menziarahi temannya, Jefri. Dia masih setia. Dialah satunya teman zamannya dahulu yang masih belum meninggalkan daerah itu.

Daerah itu merupakan daerah pelabuhan. Pelabuhan Sepi namanya. Satu-satunya pelabuhan yang digunakan oleh pemuda-pemuda zamannya untuk menuju ke Pulau Bahagia. Kalau zaman sekarang, ramai sudah memilih untuk ke daerah lagi satu negara itu, Daerah Rumah Muslim namanya. Daerahnya lebih dekat dengan Pulau Bahagia. Perjalanannya pun tak memenatkan berbanding kalau dari Pelabuhan Sepi.

Pulau Bahagia inilah yang dihuni Munsyi kini. Pulaunya Subhanallah, sungguh membahagiakan. Padanlah dengan namanya. Munsyi pun naik hairan bagaimana Jefri masih mampu bertahan di Daerah Sepi yang sunyi dan syahdu itu. Temannya yang lain dulu semuanya berguling-guling ingin meninggalkan daerah itu.

"Jef, aku dah nak pergi"

"Oh, dah nak pergi?", Jef menjawab dengan air muka yang tawar.

"Jom la, apa lagi yang kau tunggu?", soalnya pada Jef.

"Kesian aku melihat kau di sini, aku pun dah tak sabar-sabar nak pergi", tambah Munsyi.

"Munsyi, belum masa aku untuk ke sana, masanya belum tiba", terus matanya melirik ke ombak-ombak yang menghentam pinggir pelabuhan itu.

"Kau pergilah dulu", nadanya sungguh berat.

Itulah dialog terakhirnya dengan Jef sebelum dia pergi 10 tahun dahulu.

*****

BAHAGIAN 2 - Bahtera

Di waktu Munsyi dahulu, pelabuhan itu terkenal dengan dua kilang bahtera. Satunya diterajui Syarikat Iman Bersaudara. SABAR nama pendeknya. Dan yang satu lagi Syarikat Atan dan Rakan-rakan atau lebih terkenal dengan nama pendeknya, SATAN. Kedua-duanya bersaing agar bahtera binaan mereka yang digunakan oleh pemuda-pemuda untuk pergi meninggalkan daerah itu.

Dia masih teringat pekerja Syarikat Atan dan Rakan-rakan. Semuanya berpakaian merah. Topinya juga menghairankan, persis tanduk lembu cuma warnanya hitam. Ada juga khabar angin kononnya mereka itu berekor, tajam lagi. Wallahualam. Tidak pula dia perasan ketika itu. Hairan juga Munsyi, sepelik-pelik mereka ini, ada pula sebuah kelab bola sepak nun jauh di Negara Kulitputih membuat Atan sebagai lambang logo mereka. Kelab Bola Sepak "Atan Si Merah" kalau tak silap Munsyi namanya.

SATAN ini cukup hebat promosinya mengelabui mata pemuda-pemuda di Pelabuhan Sepi untuk menempah bahtera mereka untuk pergi meninggalkan pelabuhan itu. Tengok saja katalog syarikat itu, bahtera mereka sungguh mempersonakan. Siapa melihatnya memang terpikat. Memang jadi gila pemuda-pemuda di Pelabuhan Sepi dibuatnya. Kalau tempah hari ini, esok pun boleh siap bahteranya. Cepat. Cantik. Mempersona. Murah pula.

"Munsyi, kenapa kau memilih sangat ni?" Bilis, kenalannya, anak kepada Atan Si Pembuat Bahtera menyindir.

"Bahtera bapak aku buat ni punya cantik, duduk depan mata, kau nak tunggu apa lagi?"

"Kami dah tak tahan dengan pelabuhan ni, kami nak pergi dulu la Munsyi", ujar teman-temannya terpersona dengan hujah-hujah Bilis itu.

Majoritinya begitu.

Promosi-promosi SATAN sungguh bertubi-tubi menyebabkan kebanyakan temannya bertekad memilih bahtera mereka untuk meninggalkan pelabuhan yang sepi itu. Lalu, ramailah  yang meninggalkan pelabuhan sepi itu dengan bahtera-bahtera binaan SATAN itu.

*****

BAHAGIAN 3 - SABAR

Tinggal sedikit sahaja yang masih di Pelabuhan Sepi itu. Mereka ini memang tidak pernah mempercayai dengan bahtera SATAN itu. Ramai yang pernah terkena.

Benar, tak lama setelah pemergian teman-teman mereka beramai-ramai dengan bahtera masing-masing binaan Si Atan itu, mereka banyak mendengar khabar berita yang menyedihkan.

Ada yang sudah mati kelemasan akibat karam.
Ada yang tersesat kemana hala. Pulau Sengsara kah namanya Munsyi pun tak pasti. Atau Pulau Jahanam kah. Yang pasti pulau-pulau yang sangat tandus dan jauh tak ketemu oleh orang-orang biasa.
Ada yang terselamat, ketika terapung di tengah lautan, ditemui oleh pekerja-pekerja Syarikat Iman Bersaudara dan dibawa pulang ke pelabuhan. Mereka inilah yang terkena. Ada yang bertekad untuk memilih SABAR, ada juga yang masih gelojoh memilih SATAN. MasyaAllah.

Sebenarnya bahtera binaan SATAN semuanya membawa kepada kehancuran. Luarnya saja nampak mempersonakan, hiasannya menyebabkan mata yang melihat semuanya terpikat. Tetapi sebenarnya bahtera itu semuanya dibina dengan kayu-kayu reput. Dibinanya pun sambil lewa. Kadang-kadang pekerja yang malas, sekadar cincai-cincai membina bahtera dengan kaki. Punya malas menggunakan tangan.

Yang tinggal menanti di Pelabuhan Sepi, semuanya percaya dan yakin dengan bahtera binaan Syarikat Iman Bersaudara itu. Pekerjanya berakhlaq baik. Sentiasa mengingati Allah SWT. Bahteranya memang mengambil masa lama untuk siap, kerana ia dibina dengan penuh ketelitian. Kayunya dicari nun di tengah Hutan Koyan, daerah pedalaman negara ini. Pasti berkualiti. Ukurannya dipastikan tepat. Malah Munsyi maklum bahawa kilang itu mempunyai crash test, test drive dan R&D nya sendiri. Semuanya demi memastikan bahtera mereka selamat membawa pemuda-pemuda menuju ke Pulau Bahagia.

Munsyi dan teman-temannya yang tinggal, mendapat bahtera tempahan mereka 10 tahun lalu. Bahtera kepunyaan Munsyi diberi nama HZ. Pendek tapi amat bermakna. Kiran, rakannya, diberi nama bahteranya Syarif. Ustaz Muzz pula punya bahtera bernama Taman. Ramai lagi teman-temannya dengan bahtera masing-masing. Nak disebut satu persatu, naik letih Munsyi jadinya. Bahtera-bahtera SABAR inilah yang membawa mereka ke Pulau Bahagia meninggalkan Pelabuhan Sepi lama dahulu.

*****

BAHAGIAN 4 - Musafir Sepi

"Assalamualaikum adik, Abang Jef kat mana ya?"

"Waalaikumussalam, Abang Jef?"
"Tak pernah kami dengar nama Jef tu bang", si orang muda itu menjawab.

"Orangnya tinggi-tinggi, nak kata cerah tak berapa cerah, nak kata gelap pun tak berapa gelap. Pelatnya kadang-kadang seperti orang daerah Holotan", Munsyi menjelaskan.

Lama si orang muda itu berfikir.

"Oh, orangnya macam saya kenal tapi orang kebanyakan panggil dia Mus, bang"

"Mus? Mana saya boleh jumpa dia?", Munsyi teruja.

"Hmm, susah sikit tu abang"

"Saya dengar cerita, sejak 10 tahun dulu, dia menanti bahteranya. Tapi belum siap-siap. Banyak juga orang-orang SATAN menawarkan bahtera-bahtera mereka, namun dia tetap memilih bahtera binaan SABAR. Tapi bahtera Mus ni katanya ditempah dengan spesifikasi yang tinggi. Dan Allah izin, banyak pula tertangguh pembinaan bahtera itu", serius si orang muda bercerita.

"Kononnya juruteranya menuntut ilmu khas untuk membina bahtera tersebut di negara seberang. Lama juga. Tambah pula ketika menuntut itu, rakyat negara seberang mogok-mogok tentang isu sempadan laut. Tertangguh juga pengajian jurutera itu. Ada juga katanya kayu pilihannya untuk membina bahtera itu perlu ditunggu lama untuk ditebang. Wallahualam. Tapi yang penting, dia harus tunggu", tambahnya lagi.

Munsyi terangguk-angguk.

"Jadi, dia di mana sekarang dik?

"Dia mengembara bang. Pergi merantau di negeri orang. Menuntut ilmu kata orang. Kadang-kadang dia akan pulang, duduk seorangan di tepi pelabuhan. Kadang dia dagang kembali"

"Sekarang?"

"Wallahualam bang", kedua bahunya diangkat menandakan tidak tahu.

"Haa bang! Saya baru teringat. Mus tu nama panggilannya saja. Singkatan daripada nama julukannya Musafir Sepi".

"Kalau abang nak cari, mungkin abang boleh ke daerah sebelah atau sebelah lagi atau sebelah lagi atau lagi sampai abang jumpa. Mungkin ada orang dengar khabar berita tentang Musafir Sepi tu", si orang muda menamatkan perbualan.

*****

SEPI

Lama Munsyi berdiri di pelabuhan itu. Benarlah tak ramai yang mampu menunggu. Suasana pelabuhan itu benar-benar sunyi. Jiwa mana yang mampu bertahan.

"Jef, sedihnya aku mendengar cerita kau", Munsyi bermonolog.

Hajatnya tak kesampaian untuk bertemu Jef. Namun kisah yang didengarnya itu cukup untuk memberitahu dia bahawa Jef masih setia.

*****

Musafir sepi~

 

Siapa Kami?

Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) ialah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah HALUAN Malaysia. Kelab ini menjadi platform kepada ahli-ahli yang terdiri daripada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara untuk bergabung tenaga bagi menjayakan visi dan misi HALUAN. PPM 969/88

Who's Online

We have 7 guests online

Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday239
mod_vvisit_counterYesterday460
mod_vvisit_counterThis week1596
mod_vvisit_counterLast week3292
mod_vvisit_counterThis Month7444
mod_vvisit_counterAll days339665