
LCCT SEPANG, 1 November - Sembilan orang relawan dari Pasukan Ketiga Misi
Kemanusiaan Padang telah selamat berbakti di Padang, Indonesia. Pasukan ini dianggotai oleh beberapa orang relawan kanan yang berpengalaman dalam misi kemanusiaan beserta dua orang doktor wanita, paramedik dan lima orang relawan muda yang mewakili Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa).
Antaranya adalah Sdr Mohammad Hudzaifah b. Nordin, Sdr Umar b. Mohamed Badri, Sdr Shahrul Anwar b. Rahmad, Sdr Ahmad Rahimi Bin Kamarudin & Sdri Nurul Zakirah bt. Mat Sin. Mereka adalah wakil kedua daripada HALUANSiswa setelah Sdr. Ahmad Hafizuddin bin Abdullah Pirus menyertai Pasukan Kedua sebelum ini.
Demikian menurut ketua pasukan ke-3 Misi Kemusiaan Padang, Sdr Abd Basir bin Abd Ghani. Masih terdapat banyak lagi kampung-kampung terpencil yang belum dimasuki oleh pasukan bantuan. Bagi relawan-relawan HALUAN, mereka telah meneruskan khidmat rawatan pemeriksaan kesihatan secara bergerak dari kampung ke kampung.
![]() |
![]() |
Pasukan ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan yang pertama telah mengadakan rawatan pemeriksaan kesihatan manakala kumpulan kedua yang diterajui HALUANSiswa telah mengadakan khidmat kaunseling dan motivasi pemulihan trauma di beberapa buah sekolah rendah yang terpilih dan kampung-kampung terpencil.
Menurut Sdr Abd Basir lagi, relawan-relawan HALUANSiswa telah mengadakan ceramah serta berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar sekolah. Sambutan dari guru-guru dan murid-murid amat menggalakkan dan baik sekali. "Ramai daripada kalangan pelajar yang rumah mereka telah roboh dan datang juga ke sekolah dengan keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka masih bersemangat untuk belajar walaupun rumah mereka telah musnah," terang Sdr Abd Basir.
![]() |
![]() |
Relawan-relawan HALUANSiswa membina suasana yang dapat mengembirakan mereka dengan mengingatkan mereka kepada Allah dan sentiasa bersyukur dan meminta pertolongan daripada Allah dengan sabar dan sembahyang. "Segala pengalaman yang ada pada relawan-relawan kita gunakan di sini. Kita adakan beberapa permainan dan ujiminda. Kita juga beri hadiah-hadiah dan ole-ole kepada kanak-kanak. Alhamdulliah dengan cara begini, mereka nampak keriangan dan dapat melupakan trauma dan kesedihan mereka," kata Sdr Abd Basir lagi.
Semasa pemeriksaan kesihatan berjalan di kampung-kampung, relawan-relawan HALUANSiswa juga telah mengumpulkan pelajar dan kanak-kanak untuk diberi suntikan motivasi dan pembelajaran. Ada anak-anak yang mengalami trauma yang amat teruk hinggakan takut dengan tindakbalas bunyi, hujan dan gelap. Ini adalah kerana semasa gempa berlaku, hari semakin gelap disusuli dengan bunyi yang menakutkan, gegaran yang luarbiasa, bekalan eletrik terputus dan lampu terpadam. Ibubapa mengheret mereka keluar dari rumah dalam keadaan cemas dan basah kesejukan, hingga menggigil ketakutan.
![]() |
![]() |
"Alhamdulillah usaha yang kami lakukan ini, walaupun kecil, mampu memberi sinar pengharapan, perangsang dan curahan kasih sayang kepada mereka. Dari tampak wajah, mereka merasa sungguh gembira dan puashati atas khidmat yang kami berikan. Moto kami di Padang iaitu 'Rakyat Malaysia Peduli dan Menyayangi Kalian' akan diteruskan sekiranya masih mengizinkan." Itulah curahan rasa hati Sdr Abd Basir yang mengetuai relawan-relawan HALUAN membantu mangsa-mangsa gempa di Padang.
Semoga rakyat Malaysia yang prihatin dan pemurah akan terus membantu usaha mulia ini dengan menghulurkan bantuan bagi kelangsungan misi kemanusiaan ini. Anda boleh menyalurkan bantuan kewangan melalui
Tabung Kemanusiaan HALUAN atas nama ”HALUAN”
Bank Islam Malaysia Berhad
Nombor akaun 14-023-01-002 571-8





















