
PADANG, 22 November - Penduduk Kabupaten Padang Pariaman, Padang,
Indonesia begitu mengalu-alukan kehadiran HALUAN bagi meneruskan misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa gempa di Padang Indonesia. Misi Kemanusiaan Padang oleh HALUAN telah memasuki minggu ke tujuh yang melibatkan gandingan relawan veteran dan muda.
Pasukan ke-6 telah selamat pulang di LCCT pada 22 November 2009 jam 10.40 pagi waktu tempatan setelah berada di lapangan selama seminggu yang lalu. Pasukan yang disertai oleh 9 orang relawan ini terdiri daripada seorang doktor lelaki dan seorang doktor perempuan iaitu Dr Azman Abd Wahab dari KKH Terengganu dan Naib Pengerusi HALUANITA, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa. Tiga relawan dari HALUANSiswa juga turut serta dalam misi pada kali ini. Pasukan ini telah diketuai oleh Sdr Muslim Mahmud wakil dari HALUAN Kelantan.

Dilaporkan, pasukan ini telah ditugaskan di Kecamatan V Koto Kampung Dalam Kabupaten Padang Pariaman. Didapati penyakit-penyakit paska gempa masih menyerang warga penduduk kampung ini walaupun secara umumnya fasa darurat di Sumatera Barat sudah berlalu. Mereka masih lagi tepaksa tinggal di khemah-khemah sementara yang didirikan bersebelah dengan runtuhan rumah. Ada warga penduduk yang mengadu, "Siangnya kami kepanasan, malamnya kami kesejukkan".
Masih ramai ramai mangsa-mangsa yang berhadapan dengan trauma dan masalah kesihatan dan penyakit. Hujan yang melanda negeri ini sejak beberapa hari yang lalu, dikuatirkan berlakunya ancaman tanah runtuh.
"Kebanyakkan mereka mengalami penyakit gatal-gatal kulit. Ada juga yang masih mengalami "panic attack" akibat trauma gempa" ujar Dr Wan Muhaizan.

Relawan bagi pasukan ini telah menyumbangkan sepenuh tenaga berbakti kepada masyarakat di kampung ini. Mereka telah memberi khidmat klinik bergerak bermula dari pagi hingga ke malam. Disamping memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan, mereka juga menekankan aspek kesedaran Islam dan sebagainya.
Menurut wakil dari HALUANSiswa, mereka telah ke sekolah-sekolah di sekitar untuk memberi khidmat kaunseling (trauma healing) kepada anak-anak mangsa gempa. Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan. Ada di kalangan anak-anak di sini yang telah kehilangan ibubapa dan keluarga akibat gempa. Semoga dengan kehadiran relawan HALUANSiswa mengubat duka mereka.
Relawan sempat ke Lembah Gunong Tigo, Kabupaten Padang Pariaman untuk melihat sendiri kesan gempa yang paling teruk di sana. Kawasan ini telah diistiharkan sebagai perkuburan terbesar yang melibatkan beberapa buah kampung dan seramai kira-kira 300 orang telah tertimbus.
HALUANSiswa menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dan pemurah akan terus membantu usaha mulia ini dengan menghulurkan bantuan bagi kelangsungan misi kemanusiaan ini. Anda boleh menyalurkan bantuan kewangan melalui ;
Tabung Kemanusiaan HALUAN atas nama ”HALUAN”
Bank Islam Malaysia Berhad
Nombor akaun 14-023-01-002 571-8
















