
JAKARTA, 24 Januari – Pada 17hb Januari sehingga 24hb Januari yang lalu, HALUANSiswa
telah menghantar dua wakil iaitu Saudara Muhammad Shakir Sabarudin, Ahli Majlis Tertinggi HALUANSiswa Nasional dan Saudara Anaqi Ahmad Salleh, Presiden Kelab Siswa HALUAN ke Perhimpunan Belia Antarabangsa Ke-3 (3rd International Youth Gathering) yang berlangsung di Jakarta dan Bandung, Indonesia. HALUANSiswa telah dijemput secara rasmi untuk menghadiri perhimpunan ini oleh salah satu dari badan pelaksana program iaitu SALAM UI. Perhimpunan Belia Antarabangsa di Indonesia ini merupakan perhimpunan kali ketiga selepas perhimpunan yang pertama dan kedua yang diadakan di Turki.
Secara umumnya, perhimpunan ini disertai oleh 120 peserta dari 22 buah negara yang diwakili NGO dari negara masing-masing. Antara negara-negara yang menyertai perhimpunan ini ialah Malaysia, Turki, Maghribi, Sudan, Iraq, Palestin dan lain-lain. Penganjur utama perhimpunan ini adalah Pertubuhan NGO Islam Sedunia (UNIW) dan kebanyakan yayasan dan NGO yang hadir adalah terdiri dari badan yang telah bergabung di bawah UNIW. Antara badan penganjur yang lain adalah Komite Kemanusiaan Indonesia (KKI), Nuansa Islam Mahasiswa Universitas Indonesia (SALAM UI), Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), dan Persatuan Ummat Islam (PUI).
Tujuan perhimpunan ini diadakan adalah agar peserta dapat mendukung perjuangan untuk kemajuan pendidikan di negara masing-masing. Di samping itu, para peserta diarapkan agar dapat memperkenalkan peradaban negara masing-masing kepada peserta dari negara lain dalam rangka membangun kesatuan, toleransi sesama muslim dan agar peserta dapat memiliki kesedaran tentang dunia luar. Dan dari perhimpunan ini juga, peserta diharap dapat membentuk Forum Belia Muslim Antarabangsa dalam rangka agar kehadiran pemuda Islam dapat memberi impak kepada dunia masa kini dan akan datang.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah pertemuan rasmi dan sesi soal jawab bersama tokoh-tokoh pemimpin Republik Indonesia iaitu Pegawai Daerah Depok Dr Ir Nur Mahmudi Ismail, Menteri Komunikasi dan Informasi Republik Indonesia Ir Tiffatul Sembiring, Menteri Sosial Republik Indonesia Dr H. Salim Segaf Al-Juhrie, Menteri Belia dan Sukan Dr Andi Alfian Mallarangeng, Dr Mustafa Kamal yg merupakan antara pengasas Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) Dr.Anis Matta, Gabenor Jawa Barat Ahmad Heryawan dan juga Tuan Suripto (wakil UNIW di Indonesia). Peserta juga turut terlibat dalam Persidangan Pendidikan Belia Islam Antarabangsa (IMYCE) yang membincangkan berkenaan masalah pendidikan di negara peserta serta penyelesaian yang boleh dilaksanakan. Sebelum persidangan dimulakan, satu ucapan cetusan telah disampaikan oleh Siddiq Buckley, Pemerhati Pendidikan Islam Antarabangsa yang berasal dari Australia.
Peserta-peserta juga turut terlibat dalam aktiviti outbound seperti flying fox, permainan team building dan abseiling di Bandung. Disamping itu, pihak urusetia membawa peserta perhimpunan untuk melawati tempat-tempat menarik di sekitar Jakarta dan Bandung.
Antara tempat yang dilawati adalah Taman Mini Indonesia, Pondok Puteri Duyung, Taman Tema Dufan, Rumah Zakat Indonesia dan juga Gedung Merdeka. Pada hari terakhir perhimpunan ini, deklarasi Bandung Perhimpunan Belia Antarabangsa telah dibacakan oleh Amad Setia Budi yang merupakan Ketua SALAM UI dan disaksikan oleh semua peserta yang terlibat. Deklarasi ini berperanan menyatukan matlamat belia muslim di seluruh dunia dalam rangka untuk memartabatkan Islam di mata dunia. Alhamdulillah, dengan izin dan kehendak Allah kami dapat menyertai perhimpunan ini sehingga akhir.
Kesimpulannya, perhimpunan ini dapat meluaskan lagi hubungan HALUAN secara umumnya dan HALUANSiswa secara khususnya dengan badan-badan bukan kerajaan dari negara-negara seperti Pakistan, Turki, Sudan, Maghribi, Bangladesh, Indonesia, Albania dan lain-lain. Secara tidak langsung, wakil HALUANSiswa juga dapat menambahkan pengetahuan tentang kewujudan NGO Islam di seluruh dunia yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah. Sepanjang perhimpunan ini, pihak HALUANSiswa dapat bertukar pandangan berkenaan isu pendidikan, politik, budaya dan juga isu umat Islam antara peserta dari negara-negara yang berbeza. Semoga dengan kehadiran wakil HALUANSiswa ke Perhimpunan Belia Antarabangsa Ketiga ini dapat memberi kebaikan kepada HALUAN dan HALUANSiswa. Wallahu’alam.
Laporan disediakan oleh,
Muhamad Shakir bin Sabarudin
Ahli Majlis Tertinggi HALUANSiswa













