
BANGI, 21 Februari - Seminar Pengukuhan Kefahaman Mahasiswa Islam telah diadakan
pada 20 dan 21 Februari 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seramai 105 orang daripada kepimpinan HALUANSiswa Nasional yang terpilih dari seluruh Malaysia telah hadir menjayakan seminar ini yang julung-julung kali diadakan. Seminar ini adalah sebahagian dari siri Latihan Kepimpinan HALUANSiswa dalam melahirkan barisan kepimpinan yang wibawa dan berpengalaman.

Seminar ini telah bermula seawal jam 9.30 pagi dengan sesi taklimat seterusnya seminar telah dirasmikan oleh Ustaz Hj Mohd Darus Senawi Ali merangkap Timbalan Presiden HALUAN Malaysia. Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa ahli-ahli HALUANSiswa perlu sentiasa menyeru masyarakat agar kembali beriman kepada Allah dan kembali kepada sistem hidup Islam yang bersumberkan Al Quran dan Al Sunnah. Beliau juga menggesa ahli-ahli HALUANSiswa agar sentiasa menghiaskan diri dengan akhlak yang baik supaya dapat menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Terdapat pelbagai macam ideologi yang semakin bercambah dari hari ke hari, jadi kita perlu untuk bersatu pada apa yang kita sepakati bersama dan bertolak ansur terhadap sebarang perselisihan antara umat Islam di samping berwaspada terhadap semua perancangan dan tipu daya musuh Islam.

Lima kertas kerja telah dibentangkan pada seminar kali ini. Kelima lima kertas kerja ini berkisarkan kepada pengukuhan akidah, keperluan berpegang kepada Al Quran dan Al Sunnah, kepentingan melaksanakan ibadah yang benar, adab-adab dalam perselisihan pendapat dan penerangan umum mengenai kaedah-kaedah syara'.
Antara penceramah yang hadir untuk seminar ini terdiri daripada Ust Abd Rahhim b Abd Wahhab(UKM), Ust Mohammed Suffian b Abd Aziz(UKM), Ust Adni b Abd Razak(UM), Ust Muhammad Muzakkir b Che Ani(S/u Haluansiswa) dan Ust Muhammad Najib b Abdullah(USIM).
Peserta seterusnya telah disajikan dengan sesi forum maraton bersama kepimpinan HALUANSiswa Nasional yang berlangsung selama dua jam. Empat ahli panel telah dijemput khas bagi menyerikan lagi forum ini. Ahli panel pertama iaitu Sdr Solehuddin Shuib selaku Pengerusi HALUANSiswa Nasional. Ahli panel kedua, Prof. Madya Dr. Asmawati Desa, Naib Pengerusi 1 HALUANITA. Ahli panel ketiga, Sdr. Anaqi Ahmad Saleh, Ketua SiswaHALUAN. Ahli panel yang terakhir, Sdri Nur Hanisah Zakaria, Ketua SiswiHALUAN.
Pelbagai persoalan telah dikupas dan dijawab oleh ahli panel forum yang merangkumi persoalan seperti perkembangan terkini HS, struktur organisasi HS, aktiviti-aktiviti HS, halatuju HS, harapan HS dan sebagainya.

Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Dr. Hj. Azizan Ahmad, yang juga merangkap Naib Presiden 3 HALUAN. Beliau mengajak seluruh kepimpinan HALUANSiswa supaya sentiasa membina keikhlasan dalam melaksanakan amal islami.
Katakanlah: “Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui.” Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. [Ali Imran (3): 29]
Ramai orang yang berjuang tetapi tidak seramai itu pula yang berjuang dengan ikhlas. Mereka yang ikhlas akan memberi kesan jangka masa panjang dan tidak mudah ditipu untuk terpengaruh dengan kehidupan duniawi. Tindak tanduk akan tertonjol dengan sejauh mana keikhlasan seseorang individu tersebut. Kerja-kerja tanpa keikhlasan akan merasa hambar dan tidak bahagia dalam kehidupan. Keikhlasanlah yang akan merangsangkan amal islami.














