![]()

Gombak, 25 September - Seramai 62 orang mahasiswi dari UIAM Gombak, USIM, UPM, UNISEL dan beberapa IPT lain
lagi telah berhimpun di Female Sport Complex Universiti Islam Antarabangsa Malaysia( UIAM) Gombak bagi menjayakan program Hari Srikandi 2011 yang julung-julung kali dianjurkan oleh Haluansiswa(Siswi) Nasional. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mendidik para peserta supaya memiliki tubuh badan yang sihat seperti yang terkandung dalam 10 muwasofat tarbiah , menyemai benih-benih mahabbah dan mengeratkan lagi ukhuwwah islamiyyah antara sesama peserta yang berlainan IPT . Sehubungan itu, pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan bersesuaian dengan tema Hari srikandi 2011 iaitu ”Kental Merentasi, Perjuangan Abadi”.
Program ini dimulakan dengan pengisian mutiara-mutiara berharga daripada ibunda tercinta, Puan Norizan Noh, merupakan seorang murobbiah dari salah sebuah sekolah di kawasan Gombak. Penyampaian ringkas beliau mengenai tema Hari Srikandi ”Kental merentasi perjuangan abadi” sangat menarik dan menyentuh hati para peserta yakni sebagai seorang mahasiswi islam kita perlu memiliki perasaan dan semangat kental yang di dasari oleh iman untuk melaksanakan kerja besar dalam hidup kita iaitu melaksanakan perintah Allah sebagaimana firman Allah dalam Surah Az- Zariyat ayat 56.
Selain itu, menurut beliau seseorang muslimah yang berada dalam proses tarbiah mesti memberikan penekanan terhadap kerja-kerja untuk mentarbiah atau mendidik iman setiap masa dan seharusnya mempunyai tubuh badan yang sihat untuk menjalankan kerja-kerja dakwah tarbiah. Harapan beliau agar program ini dapat memberi suasana ukhuwwah dan mahabbah bukan untuk meraih kemenangan semata-mata, kerana mahasisiwi merupakan srikandi yang bakal mendaulatkan syiar Islam. Beliau mengakhiri ucapan beliau dengan menyeru para peserta beriman dengan hadis sabdaNabi SAW ” Orang mukmin yang kuat lebih baik daripada mukmin yang lemah” .


Program kemudiannya diteruskan dengan aktiviti warm up oleh Saudari Tg.Masturah Tg. Paris. Seterusnya perlawanan liga bola jaring dan sukaneka. Bagi liga bola jaring, tiga kumpulan yang terdiri daripada kumpulan UNIK, 3U dan UPM telah bertanding dalam perlawanan tersebut dan setiap kumpulan bermain dengan penuh semangat berpasukan. Selain itu, bagi sukaneka lima permainan telah dijalankan iaitu ’Hidden Treasure’(Gula-gula dalam tepung), Belon-belonku sayang, War game, tukar-tukar getah menggunakan straw, kaki tiga dan minda iman. Kelima-lima aktiviti ini berjaya mengikat dan menguatkan lagi tali-tali ukhuwwah di antara peserta, semangat bekerjasama dan memupuk rasa kasih sayang sesama peserta.
Program diteruskan lagi dengan upacara penyampaian hadiah saguhati kepada setiap kumpulan yang bertanding.Ucapan penutup yang merupakan kemuncak kepada Hari Srikandi telah disampaikan oleh Saudari Amnani Abdullah Akhilli, pelajar Sarjana Muda Undang-undang UIAM Gombak. Antara pesanan beliau adalah agar setiap peserta mesti menjaga kesihatan tubuh badan untuk tujuan beribadat kepada Allah dan menurut beliau semangat kesatuan hati serta kekuatan ukhuwwah islamiyyah amat jelas terasa di hati sanubari apabila banyak IPT turun padang bagi menjayakan program ini. Beliau mengakhiri ucapan dengan petikan kata-kata hukama iaitu ” awwalan quwwah quwwatan wehdah” dan untuk membina ukhuwwah kesatuan hati itu memerlukan proses yang berterusan.
Program Hari Srikandi 2011 berakhir pada pukul 1.00 petang. Mudah-mudahan program ini dapat menjadi amalan soleh yang dapat membantu semua srikandi islam yang menyertai Hari Srikandi ini pada hari akhirat kelak.Pihak urusetia dan yang berkaitan mengucapkan ribuaan terima kasih kepada pihak-pihak yang berkaitan didalam melaksanakan Hari Srikandi 2011. Wallahu’alam
(Disediakn oleh : UMMI MARIATUL THOHIRAH SUHAIMI s/u hari srikandi 2011)













