Kuala Terengganu, 10 Oktober - Seminar Pembangunan Modal Insan 2011 (SEMAI 2011) telah diadakan bertempat di Universiti
Sultan Zainal Abidin Terengganu pada Isnin 10 OKTOBER 2011 yang lalu. SEMAI 2011 telah dianjurkan oleh Akademi Penyelidikan Haluan (APH) dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). SEMAI siri ketiga yang dianjurkan oleh Biro APH dan KTD,dan juga merupakan kesinambungan seminar yang sama yang telah dilaksanakan setiap tahun bermula tahun 2009 lagi.
Urusetia SEMAI 2011 bersama 2 orang Keynotes Speaker SEMAI 2011
Tema SEMAI 2011 iaitu ‘Pembangunan Modal Insan Ke Arah Masyarakat Holistik’ adalah amat bersesuaian dengan realiti keperluan masyarakat pada masa kini kerana kesepaduan ketiga-tiga aspek jasmani, intelek dan rohani merupakan potensi yang sangat kritikal dan menjadi teras kepada pembangunan manusia yang bersifat holistik. Demikianlah antara intisari ucapan penutup yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif KTD, oleh Y. Bhg. Dr. Hj Abdullah Sudin Ab Rahman. Menurut beliau lagi, pembangunan yang sebenar harus menjadikan kesejahteraan hidup masyarakat sebagai matlamat utama supaya pembangunan mendasari hidup dapat diperkasa dengan menjadikan usaha-usaha RasuluLlah saw sebagai model ikutan.
SEMAI 2011 telah dirasmikan olehY. Bhg. Dato’ Prof. Dr. Alias Daud, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin yang diwakili olehDekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA. Manakala majlis penutup oleh Y. Bhg. Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman selaku Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim. Seminar ini telah menarik penyertaan seramai 175 orang yang terdiri antaranya, pembentang kertas-kerja, ahli HALUAN Terengganu, pelajar serta staf KTD dan dari UniSZA sendiri.
Upacara perasmian dan penutup SEMAI 2011
SEMAI kali ini turut menjemput 2 orang pembentang kertas kerja utama (keynotes speaker) yang terdiri daripada Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba, Professor Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM).
Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba menekankan aspek integriti dalam pembangunan modal insan. Ia berpaksi kepada ilmu dan ketrampilan di samping pentingnya kepakaran dan kekuatan peribadi. Seterusnya tegas beliau, untuk memperkasakan modal insan yang berkualiti di Malaysia ia perlu diasaskan diatas sistem pendidikan yang integratif dengan acuan sendiri. Dengan ini ia dapat menjana modal insan yang mampu melakukan perubahan yang positif dan berupaya menghadapi era globalisasi yang mencabar.
Mankala Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Yusoff Hassan dalam pembentangannya telah membangkitkan kepentingan pengurusan pembangunan modal insan yang efisien dan tersusun untuk mencapai objektif yang telah dirancang. Jika perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan modal insan tidak diselarikan, matlamat yang telah dirancang tidak akan tercapai malah merugikan sumber-sumber yang telah digunakan untuk merangka program-program yang tersebut. Maka, komitmen semua pihak diperlukan untuk membangunkan modal insan yang berkualiti dan mencapai aspirasi negara.

Sekitar pembentangan Keynotes Speaker 1 oleh Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba semasa SEMAI 2011
Sebanyak 21 kertas kerja seminar telah dibentangkan dalam Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris semasa Sesi Selari I dan II. Pembentang-pembentang kertas kerja seminar terdiri daripada golongan profesional, pendidik,pensyarah dan pelajar siswazah dari pelbagai universiti di Malaysia termasuk dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tenaga Nasional dan sebagainya. Kertas kerja seminar yang terpilih akan diedit dan dibukukan ke dalam siri ketiga buku SEMAI untuk edaran semasa SEMAI IV yang akan dianjurkan pada tahun hadapan.
Pembentang-pembentang kertas kerja semasa Sesi Selari I dan II, SEMAI 2011
SEMAI 2011 berakhir pada 5.30 petang dengan acara penutup yang dirasmikan oleh Y. Bhg. Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman selaku Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim, Kelantan.
Y. Bhg. Prof. Dr. Ismail Ahmad, Pengerusi Akademi Penyelidikan HALUAN juga selaku Pengerusi SEMAI 2011 dalam ucapannya diakhir program telah mengajak untuk kita sama-sama membangunkan modal insan yang hakiki, dari acuan yang sebenar dan moga dengan itu kita dapat membangunkan generasi yang berjaya di dunia dan akhirat.
Pihak Biro Akademi Penyelidikan HALUAN serta seluruh sekretariat SEMAI 2011 mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak staf dan pelajar UniSZA, KTD, HALUAN Terengganu, semua pembentang dan peserta yang telah menjayakan seminar yang julung-julung kali dilaksanakan di Terengganu ini. Moga hubungan yang terjalin dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang













