

PEKAN PAHANG, 12 Julai - HALUANSiswa Pantai Timur telah diberi amanah mengendalikan
Program Kem Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST) di Felda Chini 5, Pekan Pahang. Pasukan Fasilitator HALUANSiswa di ketuai oleh Kem Komanden, Sdr Mohd Muadz Md Eswan bersama 21 orang fasilitator telah berjaya menarik perhatian 94 pelajar putera dan puteri berumur dari 13 hingga 17 tahun dari perkampungan Felda Chini 5 mengikuti program tersebut dengan penuh kegembiraan. Program yang berlangsung dari 10 hingga 12 Julai 2009 itu telah diadakan di Dewan Orang Ramai dan Masjid Al Diniah Felda Chini 5.
Program anjuran HALUAN Pahang ini diadakan dengan kerjasama Biro Pendidikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda Chini 5, dan turut mendapat bantuan dan sokongan dari Pejabat Pengurusan Felda Chini 5 serta Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pahang. Program ini telah dirasmikan oleh Pengurus Felda Chini 5. Alhamdulillah, program 3 hari 2 malam yang padat dengan beberapa aktiviti ini telah berjalan dengan baik dan lancar dan mendapat sambutan serta kerjasama yang amat baik dari peserta, ibubapa dan pihak JKKR.
Antara aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah Amazing Tarbawi Race, Smart Solat, Ceramah Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji, Ceramah Menuju Alam Kematian, Forum Anak Soleh dan Qiamulail.
Menurut penyelaras program ProCAST HALUAN Pahang, Sdr Abd. Bashir Abd. Ghani, program kali ini adalah yang terbaik yang pernah diadakan. Kejayaan ini adalah kerana kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh barisan fasilitator HALUANsiswa yang dibimbing oleh Saudara Razali Maarof selaku pengarah program merangkap Ketua Biro Latihan HALUAN Pusat amat menarik dan berjaya mendidik hati pelajar-pelajar dan ibubapa mereka.
Pelajar yang menyertai program ini adalah dipilih dari kalangan anak-anak peneroka dari beberapa sekolah menengah di sini. Mereka sangat teruja dan terkesan menerima santunan dan bimbingan dari abang dan kakak fasilitator yang menunjukkan sifat murabbi serta akhlak dan budi bahasa yang luhur.
Di akhir program suasana sedih dan terharu menyelimuti dewan bilamana pelajar-pelajar ini terpaksa berpisah dengan fasilitator. Ramai peserta dan ibubapa tidak dapat menahan sebak kerana terkesan dengan apa yang telah mereka rasai kerana ia sesuatu yang baru bagi mereka. Mereka mengharapkan sangat agar HALUAN dan HALUANSiswa dapat datang lagi ke kampung mereka dan mendidik anak-anak mereka.
Alhamdulillah, HALUAN Pahang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua barisan fasilitator dan HALUANsiswa yang telah berkhidmat dalam satu pasukan yang mantap, profesional, bersemangat tinggi, akhlak yang baik dan sanggup berkorban. Semoga ProCAST kali ini pertama di kawasan Felda ini akan akan membuka lebih luas ruang untuk kesinambungan dakwah dan tarbiyah kearah melahirkan remaja yang cemerlang akademik dan miliki sahsiah yang terpuji.














