PENGKALAN CHEPA, 25 Julai - HALUAN Kelantan melalui sayapnya Biro Pemuda HALUAN,
Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dan Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) telah berjaya menganjurkan pertandingan Futsal Al-Quds Challenge 2009 bertempat di Arena Futsal, Pengkalan Chepa pada 25hb Julai yang lalu. Sebanyak 13 buah pasukan dengan penyertaan lebih 100 orang pemain dari sekitar Kota Bharu telah bertanding untuk merebut kejuaraan tersebut.
Program telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua HALUAN Kelantan, Tn. Hj. Nassir Saad. Menurut Tn Hj Nasir, HALUAN bukan hanya sekadar menganjurkan futsal untuk hiburan dan meningkatkan kesihatan peserta, tetapi dalam masa yang sama mengajak para peserta yang majoritinya generasi belia supaya turut sama prihatin dan cakna dengan permasalahan Palestin.
Menurut Pengarah Program, En. Ansari Abdullah yang juga merupakan Ketua Biro Pemuda HALUAN Kelantan, antara objektif utama pertandingan ini dianjurkan adalah untuk meningatkan kesedaran terutama sekali di kalangan remaja terhadap penjajahan Israel laknatullah ke atas bumi suci Islam Palestin, di samping dapat meningkatkan lagi kesihatan dan kecergasan di kalangan peserta. Program ini juga secara tidak langsung dapat menarik minat para remaja terhadap bidang sukan dan aktiviti riadhah.
Pasukan Pendek FC dari Kota Bharu telah dinobatkan sebagai juara setelah mengalahkan Cabana FC daripada Kolej Teknologi Darulnaim dengan jaringan satu gol tanpa balas. Hadiah sumbangan telah disampaikan oleh En Ansari Abdullah.
Dalam ucapan penutupnya, En Ansari telah menggesa para peserta agar selalu berdoa kepada saudara Islam kita di bumi Palestin di samping memboikot semua barangan Israel dan sekutunya sebagai usaha altelnatif untuk membantu Palestin. Beliau juga berharap supaya semua peserta sedar bahawa sukan adalah merupakan aktiviti yang penting untuk digiatkan oleh para remaja, malahan ianya juga merupakan satu ibadah kepada ALLAH s.w.t.















