
PENGKALAN CHEPA, 27 Mei - Haluansiswa Zon Utara (HASIZU) telah mengadakan satu lawatan
ke Kolej Teknologi Darulnaim, melibatkan semua anggota penggerak Hasizu. Lawatan ini bertujuan untuk menziarahi Kolej Tarbiyah Dakwah yang bergiat aktif dalam membentuk keperibadian manusia dengan pembentukan Islam dan Iman. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk membuat refleksi mengenai perjalanan dakwah kampus untuk HASIZU di samping mengeratkan silaturahim antara penggerak dakwah kampus KTD.
Peserta Jaulah berkumpul di Sekolah Menengah IBRAH, Tanjung Putus, dan dari sana kami memulakan perjalanan. Semasa perjalanan, kami sempat berhenti di Tasik Banting dan Banjaran Titiwangsa yang begitu indah lagi mempesonakan. Kami tiba di Kota Bharu pada jam 5 petang. Alhamdulillah, setibanya kami di sana, kami telah dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan Akhi Luqman Al-Hakim bersama ukhtie Fatimah Zanirah.
Setibanya kami di KTD, kami telah disambut mesra oleh para urusetia yang begitu peramah. Mereka telah menyusun segala aktiviti kami sepanjang keberadaan di KTD. Pada sebelah malamnya, kami bersama En Zaini yang merupakan staf KTD untuk slot yang pertama.
Pada keesokan harinya, kami telah dibawa berkhelah ke Pantai Melawi, Bachok. Di samping dapat menghirup udara pantai yang segar dan melihat pemandangan yang indah, kami berpeluang bersama dengan Pakcik Mahmud untuk pengisian rohani. Sejurus selepas pulang dari rehlah, kami mengambil peluang untuk berbincang berkaitan perjalaan HASIZU dengan membentangkan laporan program semester lepas dan merangka program untuk semester akan datang.

Pada malam harinya, kami bersama-sama pelajar KTD untuk perkongsian pengalaman dakwah kampus. Setiap kampus mempunyai kelebihan dan cara yang tersendiri untuk menggerakan DnT. Setelah selesai sesi perkongsian, kami diajak bersiar-siar di Wakaf Cik Yeh.
Pada keesokan harinya, iaitu hari terakhir kami di KTD, kami telah menyambung semula mesyuarat HS Utara. Di dalam mesyuarat tersebut, kami telah menyenaraikan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh ahli HS Utara dalam melaksanakan Dakwah Kampus. Mesyuarat tamat pada jam 1.30 tengah hari. Setelah menjamah makanan tengah hari dan menunaikan solah, kami terus bergerak pulang.
Pihak HS Utara dengan ini merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak urusetia Kolej Teknologi Darulnaim di atas segala bantuan yang diberikan sepanjang keberadaan kami di sana. Semoga Allah membalas segala jasa yang diberikan sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak. Sekian.
Syafiyah Adzahar














