
SHAH ALAM, 16 Ogos - Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan
sukan futsal pada 16 Ogos 2009 yang lalu. Sukan futsal ini telah diadakan di dewan futsal terbuka di Seksyen 17 bersebelahan dengan Stesen Bas Shah Alam. Bertemakan "Mari Berukhwah", program tersebut telah disertai oleh mahasiswa-mahasiswa di sekitar Shah Alam seperti mahasiswa dari UiTM, Politeknik Shah Alam, UNISEL, Kolej RESTU dan banyak lagi. Turut memeriahkan lagi sukan futsal pada kali ini dengan kehadiran beberapa orang wakil dari HALUAN Shah Alam yang turut bersemangat untuk bersama dengan anak-anak muda ini.

Program dimulakan dengan sedikit ceramah motivasi yang disampaikan oleh yang berbahagia En Azhar Ahmad wakil dari pihak HALUAN Shah Alam. Beliau menegaskan dalam ucapannya bahawa, Islam juga amat menitikberatkan tentang pentingnya seseorang itu menjaga kesihatan fizikal. Ini kerana tubuh badan yang sihat akan melahirkan akal yang cerdas dan bijak sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah kata-kata hikmah yang membawa maksud : "Akal yang sihat dan bernas hanya terdapat pada orang yang memiliki tubuh badan yang sihat". Program
diteruskan lagi dengan aktiviti memanaskan badan yang dipimpin oleh saudara Adam Kadir sebagai langkah berjaga-jaga dan juga untuk memastikan tiada sebarang kecederaan dalaman yang akan berlaku ketika sedang bermain.
Peserta dibahagikan dengan beberapa kumpulan yang terdiri daripada mahasiswa IPT dan juga wakil-wakil HALUAN. Permainan futsal dimulakan dengan meriah sekali dan penuh bersemangat. Tidak kurang juga dengan kelincahan wakil-wakil HALUAN bermain futsal bersama-sama mahasiswa.

Permainan yang memakan masa hampir dua jam diakhiri dengan sesi menyejukkan badan dan diteruskan lagi dengan majlis penutup oleh En Ahmad Shahbudin serta sesi luahan hati dari semua peserta. Kebanyakan daripada peserta melahirkan rasa gembira dan seronok kerana dapat bersama-sama bermain futsal, dapat mengenali rakan-rakan dengan lebih erat, dan juga dapat mengenali gelagat-gelagat rakan yang selama ini tidak kelihatan yang membuatkan program kali ini begitu meriah. Semoga sukan futsal yang telah dilaksanakan ini diterima oleh Allah s.w.t. sebagai suatu ibadah dan semoga ukhuwah antara rakan-rakan mahasiswa ini semakin erat dan diredhai oleh Allah. Sukan futsal ini ditutup dengan sedikit jamuan ringan.














