
SERDANG, 16 Ogos – Seramai 15 orang siswi UPM dari pelbagai jurusan
pengajian telah mengikuti Program Happy BBQ Hours. Program ini telah diadakan di Ladang 10, Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Program telah bermula pada jam 10.00 pagi. Kebanyakan peserta yang hadir baru sahaja selesai menghadapi ujian satu bagi subjek
Kenegaraan Malaysia yang tamat pada jam 9.30 pagi. Para peserta telah tiba ke lokasi program dengan pelbagai cara. Ada yang menaiki bas kampus, kereta, motosikal dan ada yang berjalan kaki kerana kolej kediaman terletak hampir dengan Ladang 10.
Selain golongan siswi, program kali ini juga turut dihadiri oleh dua buah keluarga pensyarah UPM iaitu Dr. Rosmila binti Senik dan Pn. Wan Anita. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Building Ukhwah Games, Permainan Apabila Bos Berkata, membakar ayam, dan makan tengahari bersama. Sebelum sesi makan tengahari, kami telah dihidangkan dengan sebuah santapan rohani yang telah disampaikan oleh En. Mohd. Taib Pardi. Beliau telah
membawa satu isu yang amat menarik dan bermakna iaitu Rindu Menanti Ramadhan. Selain ayam bakar, terdapat juga kentang bakar, sosej bakar dan nasi rempah. Program telah berakhir pada pukul 1.30 petang dan kami bekerjasama membersihkan tempat program sebelum besurai.
Alhamdulillah, program kali ini, kami telah dipertemukan sekali lagi dalam rangka membina ukhwah dalam suasana ingat-memperingati. Tambahan pula, 50 peratus peserta yang hadir adalah siswi tahun satu yang baru memasuki alam UPM. Jernih hati adik-adik membuatkan kemesraan antara senior dan junior amat mudah terjalin. Semoga Allah menguatkan lagi tautan hati antara kita dan memperkukuhkan ikatan ukhuwah imaniyah sesama kita dan dipertemukan lagi di waktu akan datang. Amin.
Catatan oleh: Amnani
Jurufoto: Asma’













