SERDANG, 23 Ogos – SiswiHALUAN UPM sekali lagi dipertemukan dalam rangka
menyuburkan ukhwah imaniyah. Pada hujung minggu kali ini, SiswiHALUAN telah mengadakan program iftar jama’i di Baitul Ukhwah, Sri Serdang.
Program bermula pada jam 6.30 petang. Kami merebut keberkatan dan bonus Ramadhan sebelum berbuka puasa dengan tadarus Al-Quran bersama-sama. Tadarus Al-Quran ini telah dipimpin oleh Saudari Fitrah Salimah.
Azan berkumandang menandakan telah tiba waktu berbuka. Kami berbuka puasa dengan buah kurma dan air. Setelah itu, kami terus makan bersama-sama dalam beberapa kumpulan kecil menggunakan talam. Warisan sunnah Rasulullah ketika makan ini, benar-benar telah menyuburkan ukhwah antara kami.
Kami menunaikan solat maghrib bersama-sama. Selesai solat maghrib bersama, SiswiHALUAN dihidangkan dengan slot pengisian jiwa iaitu tazkirah Ramadhan. Slot ini telah disampaikan oleh Saudari ‘Atiqah dan Saudari Amnani.
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” [Surah Al-Baqarah:183]
Selepas azan Isya’ berkumandang, kami berjalan kaki bersama pergi ke Masjid UPM yang terletak hanya beberapa langkah di belakang Baitul Ukhwah, Sri Serdang. Kami menunaikan solat sunat terawih bersama jemaah masjid UPM yang lain.
Selepas moreh di masjid UPM, SiswiHALUAN pulang ke kolej masing-masing. Semoga ukhwah yang terjalin ini mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Laporan Oleh:
Amnani













