
PUTRAJAYA, 4 Oktober – Rehlah Tarbawi 2009 telah diadakan di Taman
Botani, Putrajaya. Rehlah Tarbawi ini telah dianjurkan oleh SiswiHALUAN UKM dan KL dengan kerjasama SiswiHALUAN UPM. Rehlah bermula dengan sarapan pagi bersama diikuti dengan taklimat ringkas program yang disampaikan oleh Ukhti Amnani dan Ukhti Ruqayyah. Aktiviti seterusnya ialah sesi ta’aruf antara peserta. Sesi ini merupakan titik tolak perkenalan antara peserta kerana mereka terdiri daripada siswi dua buah universiti yang berbeza dan baru pertama kali menyertai program anjuran SiswiHALUAN.
Selepas para peserta memperkenalkan diri dan latar belakang pendidikan serta keluarga secara ringkas, para peserta telah diberikan tugasan. Setiap peserta telah mendapat “klu” masing-masing dan dikehendaki membentuk kumpulan iaitu setiap kumpulan mestilah terbentuk daripada jenis-jenis “klu” yang berbeza antara satu sama lain. “Klu” tersebut terdiri daripada perkataan “air”, “simen”, dan “pasir”. Maka, ketiga-tiga unsur untuk membina rumah ini hendaklah bertemu dan disatukan.
Aktiviti seterusnya ialah kembara berbasikal. Mereka bergerak secara berkumpulan dengan berbasikal dan dikehendaki berhenti di setiap checkpoint yang telah ditetapkan. Di Checkpoint
1, setiap peserta dalam kumpulan dikehendaki melukis pemandangan ciptaan Allah SWT di sekitar mereka mengikut kreativiti masing-masing. Di Checkpoint 2 pula, setiap kumpulan diberikan satu artikel yang berlainan tajuk daripada kumpulan lain. Setiap kumpulan telah berdiskusi tentang artikel itu bagi mencapai persefahaman yang sama antara ahli kumpulan. Mereka dikehendaki membentangkan elemen-elemen penting daripada artikel tersebut di hadapan kumpulan lain. Seterusnya, di checkpoint terakhir, setiap kumpulan bersaing antara satu sama lain bagi mencari harta karun. Klu yang telah diberikan kepada peserta ialah harta karun tersebut terdiri daripada alat-alat jahitan iaitu gunting, benang, kain perca, pita pengukur dan pin. Setiap ahli telah bekerjasama tanpa berputus asa bagi mengumpul alat-alat jahitan tersebut.
Pada hari ini, kami telah berpeluang mendengar kata-kata nasihat daripada sahibah senior iaitu Ukhti Nulkirah (Graduate from UKM, Bangi). Kalimah Akhirah yang telah disampaikan beliau telah tersemat di hati kami dan semoga kami mampu melahirkannya dalam tingkah laku dan amalan seharian kami.
Memori yang tercipta pada tarikh ini telah memberikan seribu macam kenangan di hati kami. Semoga ukhwahfillah yang baru terjalin ini berkekalan hingga membawa ke syurga. Ya Allah, satukanlah hati-hati kami ini di atas jalan-Mu yang Engkau redhai. Amin.

Berita oleh: Fatimah dan Amnan














