
SHAH ALAM, 11 Oktober – HALUAN Selangor telah dengan jayanya
mengadakan Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri 1430H Peringkat Negeri Selangor dengan kerjasama HALUANSiswa Shah Alam. Majlis yang bermula seawal 8.30 pagi ini berlangsung di Kompleks Taman Kesenian Islam, Shah Alam, Selangor. Kehadiran ahli-ahli HALUAN Selangor disambut mesra oleh ahli-ahli HALUAN Shah Alam yang menjadi tuan rumah untuk Perjumpaan Hari Raya Tahun ini. Kemeriahan mulai terasa apabila setiap anak-anak yang hadir diberikan sebuah goodie bag.
Di Dewan Auditorium, Komplek Taman Kesenian Islam, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari jemputan iaitu Ustaz Mohd Shukri Ali Finalis Akademi al-Quran 2006 merangkap Imam Masjid Negeri Shah Alam dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi HALUAN Shah Alam YBhg. Sdr. Nor Hasbullah Omar. Majlis diserikan dengan ucapan daripada YDP HALUAN Selangor Prof. Madya Dr. Nik Mu'tasim Nik Abd. Rahman

Antara lain, YDP HALUAN Selangor Prof. Madya Dr. Nik Mu'tasim Nik Abd. Rahman memperingatkan ahli HALUAN yang hadir akan kepentingan ahli-ahli HALUAN untuk memiliki ciri-ciri anggota HALUAN yang dihajati: Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. HALUAN seharusnya menjadi medan untuk para anggotanya menabur segala keupayan dalam rangka untuk mendidik dan berbakti kepada masyarakat.

Sementara itu di Bilik Seminar berasingan, HALUANSiswa telah mengadakan tayangan video animasi bagi anak-anak HALUAN bertajuk “Saladin”. Dengan tayangan Video ini disamping dapat menarik perhatian anak-anak dan melahirkan kegembiraan, ia juga menjadi medan untuk mereka lebih mengenali dan berinteraksi dengan sahabat-sahabat mereka yang lain sejak dari kecil lagi.
Majlis tiba ke acara kemuncak dengan jamuan Hari Raya berkonsepkan gerai buffet dengan setiap daerah menyumbangkan gerai dan menu masing-masing. Majlis jamuan dimeriahkan lagi dengan persembahan nasyid dari tiga kumpulan nasyid jemputan iaitu Miftahul Munir dari Sekolah Rendah Ibnu Khaldun, kumpulan nasyid dari Sekolah Rendah Ibnu Kathir Gombak, dan kumpulan nasyid gabungan, Kumpulan Asy-Syifa' dan X-Sawtul Fityan. Suasana jamuan tersebut di hiasi dengan celoteh dua juruacara yang didatangkan khas daripada HALUANSiswa iaitu Sdr Wan Mohd Basyir dan Sdr Adam Mohd Kadir.


Satu kenangan manis buat anak-anak HALUAN apabila menerima duit raya yang disampaikan oleh YDP HALUAN Selangor Prof. Madya Dr. Nik Mu'tasim Nik Abd. Rahman. Kegembiraan jelas terukir diwajah anak-anak HALUAN dan sudah semestinya mereka akan ternanti–nanti Perjumpaan Hari Raya HALUAN pada tahun hadapan.
Semoga Allah meredhai majlis yang gilang-gemilang ini, insyaAllah.













