H A L U A N S i s w a

Bersahsiah Dekat & Bererti

You are here: Laman Utama HS Wilayah Tengah Kian Mekar ke-9 Memperkasakan Siswi HALUAN UIA

Kian Mekar ke-9 Memperkasakan Siswi HALUAN UIA

E-mail Print PDF

 

GOMBAK, 9 Januari - Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) UIAM Gombak telah mengadakan program Kian Mekar kali ke 9 di Kem Nur Laman Bistari, Ulu Yam, Gombak

pada 8 dan 9 januari 2011 dengan disertai seramai 50 orang peserta siswi yang diketuai oleh Pengarah Program, Afeefah Saalihah bt. Zainal Abidin serta dibantu oleh 10 orang urusetia.

 

Bertemakan ‘Jasad di dunia, hati di akhirat’ program dimulakan dengan taklimat serta heart and mind setting oleh pengarah program. Program diteruskan dengan pembahagian peserta mengikut platun; Mu’tah, Ahzab, Badar, Yarmuk, Khaibar, dan Uhud.Di dalam platun, peserta diminta bertaaruf dan mencipta trademark masing-masing. Kemudian aktiviti disusuli dengan slot persembahan trademark  bagi setiap platun untuk menyerlahkan kreativiti peserta dalam mempersembahkan idea dan gaya. Seterusnya modul ice breaking ‘Kenali Sahibah’ dilakukan bagi menghangatkan ukhwah islamiyah dan mengikat simpulan kasih sayang dalam kalangan peserta memandangkan program disertai oleh pelajar-pelajar baru bagi kemasukan semester 2 2010/2011.

 

Slot penyampaian pertama bermula jam 9 malam,bertajuk ‘Muhasabah: Persiapan Menuju Kampung Akhirat’ yang disampaikan oleh Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden HALUAN. Penyampaian beliau berkisar tentang hakikat manusia secara fitrahnya menumpang di bumi Allah, dan perlunya mempersiapkan diri menuju kampung akhirat menerusi 5 persiapan iaitu persiapan Aqidah, Ilmu, Amal, Syaksiah dan Mati. Untuk hari pertama program, ia diakhiri dengan bacaan Surah Al-Mulk dan Al-Kahfi sebelum peserta dilepaskan untuk menghimpun daya.

Di awal pagi pada hari kedua, aktiviti katibah bergilir-gilir antara setiap platun dimulakan jam 1 sehingga 5 pagi. Seterusnya setiap peserta dikejutkan untuk qiammulail dan solat subuh berjemaah. Selesai solat dan membaca ma’thurat, peserta disajikan dengan santapan rohani melalui slot penyampaian kedua iaitu Kuliah Subuh bertajuk ‘Ashabul Ukhdud’ yang disampaikan oleh Saudari Shafiyyah Solehah bt Zahari, pensyarah Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya.

Pada jam 7.30 pagi, peserta dikumpulkan di dalam dewan tertutup untuk senamrobik ‘Nafasku, Nafasmu’ yang diketuai Pn.Thuram bt. Hussin, seorang guru serta jurulatih senamrobik professional. Aktiviti semanrobik ini memberikan peluang kepada para peserta untuk menunaikan hak badan dan mempelajari cara-cara senamrobik dengan betul.

Setelah bersarapan pada pukul 9.15 pagi,para peserta menunaikan solat dhuha dan kemudian berkumpul di dalam platun untuk meneruskan aktiviti tadarus dan hafalan Al-Qur’an. Peserta diminta menghafal surah Al-Mu’minun ayat 1-8 yang mengandungi ciri-ciri mukmin yang berjaya.

Seterusnya, pada jam 10.15 pagi, bermulanya aktiviti paintball-target shooting ‘Mara ke Hadapan, Saksi Pengorbanan’ yang dinantikan oleh setiap peserta setelah mendengar taklimat ringkas oleh jurulatih. Permainan ini dapat melatih para peserta untuk lebih fokus dalam melihat dan bertindak sekaligus direfleksikan melalui tembakan yang tepat pada sasarannya. Setelah selesai aktiviti permainan, para peserta berkumpul untuk sesi bergambar.

Slot penyampaian terakhir diadakan pada jam 2 petang bertajuk Pengorbanan atas jalan Dakwah, merebut mardhotillah’ disampaikan oleh Pn. Norizan Mohamad Noh, pendidik disebuah sekolah di Gombak. Program diakhiri dengan doa rabithah, sebagai doa restu kepada Allah kerana hanya Dia satu-satunya yang memudahkan langkah pertama dan langkah seterusnya dalam membimbing kita menempuh jalan benar yang telah dirintis oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda.

“Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat” (Al-Fatihah: 6-7)

Melalui program ini diharapkandapat melahirkan golongan mukminah muslihah yang sedar dan faham akan urgensi penerusan dakwah dan tarbiyyah, dalam usaha untuk meniup ruh perjuangan dalam mengaplikasikan cara hidup Islam yang sebenar seperti mana yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan program ini juga dengan harapan dapat memupuk dan menjalin persaudaraan seiman, keimanan yang bersumber dari pengenalan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. Persaudaraan yang mengacu kepada tali Allah, yang merupakan antara nikmat besar yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba yang dicintaiNya. Cinta yang berbunga, kasih sayang yang menguntum dan ikatan ukhuwwah yang mewangi di kalangan peserta inilah yang meraih pandangan Allah dan membuahkan hasil kemenangan demi kemenagan bi iznillah. Segala kelemahan yang ada harap dapat diperbaiki pada hari-hari mendatang insyaAllah. Maka, mari ita bersama dalam menempah tempat-tempat istimewa di perkampungan Syurga nanti. Wallahua’lam.

“Jasad di Dunia, Hati di Akhirat”

Khairiah Kamilah Turahim
Setiausaha Kian Mekar ke-9






 

Siapa Kami?

Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) ialah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah HALUAN Malaysia. Kelab ini menjadi platform kepada ahli-ahli yang terdiri daripada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara untuk bergabung tenaga bagi menjayakan visi dan misi HALUAN. PPM 969/88

Who's Online

We have 11 guests online

Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday336
mod_vvisit_counterYesterday422
mod_vvisit_counterThis week336
mod_vvisit_counterLast week3220
mod_vvisit_counterThis Month6688
mod_vvisit_counterAll days341625