
KUALA SELANGOR, 19 November - Mahabbah dan kasih sayang antara ahli-ahli Kelab Siswa Haluan USIM Pandan (HALUANSiswa USIM) semakin dirasai setelah tamatnya 'Program Jaulah Tarbawi
Tanjung Karang' selama 2 hari di sini.
Ia sesuai dengan objektif program, iaitu untuk merapatkan ikatan ukhuwah dikalangan ahli dan juga membina mahabbah serta ikatan kasih sayang dengan ahli-ahli yang baru. Menurut Sdr. Ainul Kamal Jameran, pengarah program kali ini, jaulah dan musafir adalah salah satu daripada method-method pendidikan yang terbukti berkesan dalam membentuk peribadi dan syahsiah ahli-ahli. Hal ini kerana, masa dan suasana kebersamaan ini secara tidak langsung merapatkan jurang dan memberi peluang yang besar untuk saling peringat-memperingati antara 17 orang peserta program jaulah tersebut.
Program jaulah ini bermula pada hari Sabtu, jam 7.30 pagi di mana rombongan yang terdiri daripada 3 buah kereta berkumpul di Stesen Petronas Tesco Ampang. Perjalanan ke Tanjung Karang diawali dengan doa, seterusnya En. Hasri Ahmad selaku mentor HALUANSiswa USIM, mengetuai rombongan tersebut menuju ke Tanjung Karang. Perjalanan selama 2 jam terasa begitu sekejap lantaran diisi dengan perkongsian pengalaman, nasihat-nasihat dan gurau senda. Peluang ini juga turut digunakan peserta untuk lebih kenal mengenali antara satu sama lain.


Setelah tiba di destinasi iaitu Amin Homestay Tanjung Karang, peserta bersiap-siap untuk menjalani aktiviti pertama di ladang kelapa sawit milik Sdr Ainul Kamal. Beliau selaku tuan rumah memberi taklimat ringkas tentang proses mengait kelapa sawit. Proses menjadi lebih jelas apabila kesemua peserta melakukannya secara amali. Bermula daripada mengenali kelapa sawit yang masak, menyabit pelepah sawit, mengait buah sawit, sehinggalah ke mengangkut hasil kutipan dan proses menjual kepada peraih. Ia merupakan pengalaman yang sangat menarik kerana masing-masing belum pernah menjalani aktiviti seumpama itu.

Selesai aktiviti menyawit, kesemua peserta membuat lawatan ziarah ke rumah Sdr. Ainul Kamal. Kehadiran peserta disambut mesra oleh ibunda beliau, Pn Norbiah. Sambil beramah mesra dan menjamu hidangan ringkas, Pn Norbiah turut bercerita berkenaan dengan kampung halaman beliau. Beliau turut berbesar hati atas lawatan ziarah tersebut. Ziarah diakhiri dengan ucapan terima kasih daripada En Hasri dan juga penyampaian cenderahati sebagai penghargaan HALUANSiswa USIM kepada keluarga beliau atas layanan yang diberikan.

Program petang itu diteruskan dengan aktiviti menangkap ikan dan belut di sawah padi. Sdr Ainul Kamal menyatakan, ini merupakan waktu yang sangat sesuai untuk aktiviti tersebut kerana proses menuai padi baru sahaja selesai. Walaupun terpaksa berkubang di dalam lopak dan selut di kotak sawah, peserta sangat gembira beraktiviti dan berukhuwah. Walaupun hanya 2 belut berjaya ditangkap, itu sudah cukup untuk membuat peserta tersenyum dan bersyukur.


Seterusnya, peserta pulang ke homestay untuk membersihkan diri dan berehat. Aktiviti diteruskan dengan Polo air dan lumba berenang di kolam renang kepunyaan Wak Amin. Kolam renang itu menjadi tarikan unik, kerana ia adalah satunya homestay di Selangor yang mempunyai kolam seumpama itu, bicara Wak Amin.

Di sebelah malam pula, Dr Roniyuzam Abd Malek, ahli Kelab Kesihatan Haluan, yang juga bertugas sebagai Pengarah Hospital Tanjung Karang, mengisi slot perkongsian bertajuk 'Peranan doktor dalam mendidik masyarakat'. Ia merupakan perkongsian yang sangat bermakna buat peserta kerana Dr Roniyuzam bukan sekadar berbicara tentang bidang kedoktoran, malah tentang pengalaman dan sejarah hidup beliau yang sangat relevan dengan tajuk yang dibincangkan. Beliau turut menekankan kepentingan mendidik masyarakat kembali kepada sistem hidup sebenar iaitu sistem hidup Islam. Peserta menjamu selera selepas itu dengan aktiviti BBQ sebelum berehat dan tidur.

Hari kedua dimulakan dengan qiyamullail, solah subuh berjemaah dan kuliah subuh. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan 'morning walk' dan peserta turut mengambil peluang untuk mencuba nasib mengail belut buat kali kedua. Setelah tiada berita gembira, peserta pulang dan meneruskan aktiviti Polo Air. Peserta seterusnya mengait kelapa pandan kepunyaan Wak Amin sambil berehat, menghilangkan dahaga dan keletihan.


Disetiap penghujung aktiviti, setiap peserta mengambil giliran untuk berkongsi pengalaman bertujuan untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Antara skop perkongsian yang ditugaskan ialah nikmat yang hilang, individu yang paling dihargai dan berterima kasih, dan juga kelemahan yang ingin diperbaiki.
Program ditamatkan dengan slot Kalimah Akhirah yang disampaikan oleh Saudara Mohammad Hudzaifah Nordin,pengerusi HALUANSiswa USIM. Beliau kembali menekankan kepentingan mendidik diri dan masyarakat agar kembali kepada sistem kehidupan yang sebenar iaitu ISLAM. Peserta program rata-rata memberi respon positif terhadap program ini, dan berharap ia akan terus diadakan di masa hadapan.
Penulis : Wan Mohd Akmal Wan Mohd Zaim
Jurugambar : Asyraf Ilman, Ahmad Farhan & Mohd Faiz














