H A L U A N S i s w a

Bersahsiah Dekat & Bererti

You are here: Laman Utama Salam Perantau Pandanglah Sebentar Kepada Yunus

Pandanglah Sebentar Kepada Yunus

E-mail Print PDF

Sewaktu meniti pembelajaran dalam kuliah madkhal Aqidah yang diajarkan oleh Dr Samirah Tohir, saya mendapat satu pengajaran yang suka saya kongsikan.

Itulah dia pengajaran daripada kisah Rasul ALLAH yang bernama Yunus.

Di dalam kisahnya, terdapat pengajaran yang berguna untuk manusia yang berputus asa, dan berguna bagi kita bermuhasabah akan keimanan kita.

Sebagaimana yang kita ketahui, Nabi Yunus ini diutuskan oleh ALLAH ke satu kaum di sebuah kawasan bernama Ninawa. Namun dakwahnya telah ditolak dengan keras oleh kaumnya. Pada awalnya, Nabi Yunus ini berusaha keras, dan tidak menghiraukan segala tolakan dan bantahan kaumnya.

Tetapi sampai satu ketika, Nabi Yunus telah merasakan bahawa segala teknik dakwahnya tidak menjadi, lalu dia mengancam kaumnya dengan azab ALLAH. Ternyata, kaumnya bukan insaf, malah bertambah berani dengan mencabar untuk didatangkan azab tersebut.

Nabi Yunus ketika itu tidak dapat bersabar seperti sepatutnya, lalu meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah, sedangkan ALLAH tidak pula mengarahkannya berbuat demikian. ALLAH menceritakan di dalam Al-Quran,

“ketika dia(yakni nabi Yunus) pergi dalam keadaan marah” (surah al-anbiyaa: 87)

“ketika dia berlari ke kapal yang penuh muatan” (Surah al-saffat: 140)

Awan sudah berarak dengan keadaan mendung hitam. Angin sudah bertiup kencang. Tanda-tanda awal bala hendak turun mula terserlah bila Nabi Yunus meninggalkan tempat itu. Ternyata, kaumnya ketakutan, dan insaf apabila melihat keadaan itu, lantas bertaubat memohon ampun.

Nabi Yunus ketika ini telah berputus asa atas kaumnya. Dia memasuki kapal yang penuh muatan untuk meninggalkan tempat itu. ALLAH tidak menyukai sikap berputus asa, maka ALLAH menegur Nabi Yunus dengan teguran yang halus, tetapi cukup untuk menjadi pengajaran kepada manusia, bahawa berputus asa bukanlah satu perkara yang patut dilakukan.

ALLAH berfirman,

“ Lalu dia termasuk orang-orang yang kalah” (As-Saffat: 141)

Oleh kerana kapal penuh, maka telah dibuat undian. Siapa yang namanya dicabut, maka dia akan dicampak keluar kapal tanpa belas kasihan. Diundi sebanyak tiga kali, dan nama Nabi Yunus juga yang naik. Ketika ini, Nabi Yunus sedar bahawa ALLAH memang hendakkan dirinya dicampak. Maka dengan rela hati, dia terjun dari kapal.

ALLAH Yang Maha Berkuasa telah mengatur dengan baik. Saat Nabi Yunus jatuh ke laut, seekor ikan besar(sering dinyatakan ikan itu adalah ikan paus) telah menyambarnya. Lalu masuklah Rasul ALLAH itu ke dalam perut ikan tersebut. Ikan itu kemudiannya menyelam ke dasar lautan.

Ketika ini, Nabi Yunus diduga bukan hanya dengan satu dugaan. Dia diduga dengan pelbagai dugaan. Disambar ikan paus, berada dalam kegelapan, tenggelam di dalam air, kelaparan dan pastinya dia kesejukan tanpa api yang boleh menghangatkan.

Namun keimanannya yang utuh membuatkan dia bersangka baik kepada ALLAH. Dia yakin bahawa ini adalah teguran ALLAH kepada sikapnya terhadap kaumnya. Dia sebagai Rasul, tidak sepatutnya meninggalkan kaumnya.

Dengan keimanan inilah, dia bertahan di dalam perut ikan itu, di dalam kegelapan itu, dengan zikir dan munajat memohon keampunan kepada ALLAH SWT. Lihat, walaupun dia diuji, Nabi Yunus tidak merungut, bahkan berusaha berfikir rasional atas ujiannya. Ternyata, dia menganggap itu adalah teguran ALLAH kepadanya. Lantas zikir dan munajat memohon keampunan memenuhi waktunya di dalam perut ikan itu. Nabi Yunus mengulang-ulang ayat,

“ Tiada ILAH melainkan KAU(ya ALLAH), Maha Suci ENGKAU, sesungguhnya aku ini termasuk kalangan orang-orang yang zalim(yakni zalim terhadap diri sendiri, kerana berputus asa)” (surah al-anbiyaa’: 87)

Apakah firman ALLAH SWT terhadap munajat Nabi Yunus ini? ALLAH SWT berfirman,

“Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah. Niscaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.” (Ash-Shaffat: 143-144)

Akhirnya, taubat Nabi Yunus ini diterima oleh ALLAH. Lalu, ALLAH telah mengarahkan ikan yang menelan Nabi Yunus tadi, memuntahkannya keluar di persisiran pantai. Nabi Yunus yang sudah tidak makan, kesejukan, kegelapan untuk satu jangka masa yang panjang di dalam perut ikan, keluar dalam keadaan yang terlalu lemah. Atas kasih sayang ALLAH, ALLAH menumbuhkan tumbuhan untuk menuanginya.

Selepas dia kuat dan sihat semula, dia bergerak kembali ke Ninawa. Di sana, dia disambut oleh ummatnya, dan kembali meneruskan ajaran. Kini, seluruh penduduk beriman kepada Nabi Yunus. Dan dakwah baginda telah berjaya dengan jayanya.

ALLAH SWT berfirman,

“ Dan begitulah kami menyelamatkan orang-orang yang beriman” (Surah Al-Anbiyaa’: 88)

Melihat kisah Nabi Yunus ini, kita dapat menilai semula diri kita. Kita senang berputus asa. Jika ada masalah, kita lebih suka memilih untuk melarikan diri, berbanding berani berhadapan dengannya. ALLAH SWT amat tidak menyukai manusia yang berputus asa.

Kemudian kita lihat pula bagaimana keimanan seseorang itu mampu membuatkannya tenang dan rasional walau dalam keadaan genting. Nabi Yunus, menyedari ALLAH mengkehendakinya dilempar dari kapal, selepas namanya naik berturut-turut, lalu dia melompat terjun tanpa rasa ragu. Yakinnya dia kepada ALLAH SWT yang tidak akan menzaliminya.

Kemudian tika dia dalam gelap, tika dia tiada makanan, tika dia bersendirian, tika dia kesejukan, keimanannya kepada ALLAH membuatkan dia tegar meneruskan munajat dan taubat. Dia tidak pula merungut atas ujian yang sukar itu, tidak pula membenci ALLAH SWT yang menegurnya dengan teguran sedemikian, dan tidak pula merasa menyesal kerana dipilih menjadi Rasul dan melaksanakan tanggungjawabsukar sedemikian. Dia menerima teguran ALLAH, dan menginsafi diri, serta bergantung harap kepada ALLAH untuk mengampunkannya. Dia amat yakin yang ALLAH sedang menegurnya, dan ALLAH mustahil akan berbuat zalim kepadanya.

Akhrinya, dengan keimanannya itu, ALLAH telah mengampunkannya, dan mengeluarkannya dari penderitaan, seterusnya memberikannya kejayaan dalam dakwah.

Tidak kah kita melihat kepada Nabi ALLAH Yunus ini?

Inilah dia pengajaran yang baik kepada kita. Berputus asa nyata perlu kita jauhi, keimanan kita pula perlu diasahi. Manusia yang beriman adalah manusia yang tidak mudah putus semangat. Manusia yang beriman adalah manusia yang hidupnya akan ALLAH permudahkan.

Mari muhasabah diri dan iman kita.

Oleh: Hilal Asyraf (Langit Ilahi. Com)

 

Siapa Kami?

Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) ialah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah HALUAN Malaysia. Kelab ini menjadi platform kepada ahli-ahli yang terdiri daripada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara untuk bergabung tenaga bagi menjayakan visi dan misi HALUAN. PPM 969/88

Who's Online

We have 12 guests online

Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday369
mod_vvisit_counterYesterday422
mod_vvisit_counterThis week369
mod_vvisit_counterLast week3220
mod_vvisit_counterThis Month6721
mod_vvisit_counterAll days341658